BINA ‘SYURGA’ KUCING, HAIWAN TERBIAR

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 16 Oktober – Sebuah pusat perlindungan untuk haiwan terbiar seperti kucing dan anjing bakal dibangunkan di tapak seluas 0.93 hektar di daerah Jasin.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, buat permulaan kemudahan dikendalikan Pertubuhan Pencinta Hidupan Melaka (PPHM), mensasarkan untuk melindungi sehingga 1,000 ekor haiwan terbiar.

Katanya, inisiatif itu juga mendapat sokongan daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang meluluskan permohonan dibuat PPHM untuk menyewa tanah milik Kerajaan Negeri bagi tujuan pembinaan pusat perlindungan berkenaan.

“Diharapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain akan menyokong usaha ini dengan meluluskan cadangan membina pusat perlindungan haiwan liar dalam kawasan pentadbiran masing-masing.

“Beberapa lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) aktif dalam aktiviti perlindungan haiwan di Melaka Tengah dan Alor Gajah juga dalam perancangan membangunkan kemudahan seumpama ini pada tahun hadapan, jadi saya amat berharap PBT mempermudahkan permohonan serta urusan berkaitan yang lain,” katanya.

Whatsapp Image 2024 10 15 At 4.30.43 Pm
ANTARA haiwan terbiar yang diselamatkan NGO pencinta haiwan di Negeri Melaka.

Allex berkata, Kerajaan Negeri juga bersetuju dengan cadangan untuk memberi peluang kepada NGO terbabit menyelamat dan melindungi haiwan terbiar khususnya kucing serta anjing berbanding dilupuskan.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri dan rakan-rakan Exco Kerajaan Negeri kerana menerima cadangan dan dasar ini termasuk kelulusan tanah yang dipohon oleh PPHM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

65
Kongsi :
Previous post ‘REVIEW’ SEMULA TEBATAN BANJIR LENDU
Next post SYARIKAT JERMAN SELESA BEROPERASI DI MELAKA
Ubah saiz-+=