Bina replika asal Kapal Mendam Berahi sebelah Muzium Kapal Selam
AYER KEROH 19 Jun- Kapal yang pernah menjadi kebanggaan pada Zaman Kesultanan Melayu iaitu Mendam Berahi dicadangkan dibina semula di Klebang pada tahun hadapan.
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata perkara tersebut merupakan cadangan daripada Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dalam ucapan ringkas lafaz perasmian Seminar ‘Kapal Mendam Berahi’: Realiti atau Mitos.
Ujar Zaidi, pihaknya akan menghantar permohonan dan meminta pertimbangan daripada Kementerian Perpaduan Negara mengenai perkara tersebut.
“Menerusi hasil dapatan pada seminar ini, kita akan gunakan ia sebagai rujukan untuk membangunkan replika asal kapal bersejarah ini dan lokasinya bersebelahan muzium Kapal Selam di Klebang.
“Difahamkan juga, kapal Mendam Berahi ini yang telah ada pada 1,400 tahun lalu dengan menggunakan teknologi yang maju pada zaman dahulu dan pakar sejarah menyifatkan ia kapal orang Melayu yang kuat dan sangat besar.
“Jadi hasil dapatan seminar ini kita akan jadikan rujukan sekali gus pembinaan replika kapal Mendam Berahi ini selepas siap dapat menjadi produk pelancongan baharu Negeri Melaka bersempena TMM2024,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Seminar ‘Kapal Mendam Berahi’: Realiti atau Mitos? di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Terdahulu, seminar terbabit telah dirasmikan oleh Mohd Ali dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem dan Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Akramuddin Ab Aziz.
Mengulas lanjut, Zaidi turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan membawa pulang kapal muzium milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kapal Diraja (KD) Hang Tuah sebagai tarikan baharu pelancongan.
“Kapal KD tersebut kini berada di Lumut, Perak dan akan di bawa ke Melaka bagi menarik lebih ramai pengunjung pada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.