Bina ban elak limpahan air sungai
AYER KEROH 4 Ogos- Kerajaan negeri kini sedang mengenal pasti beberapa sungai di daerah Masjid Tanah untuk pembinaan ban bagi mengatasi masalah limpahan air sungai yang mengakibatkan banjir di kawasan berdekatan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata pembinaan ban itu sebagai langkah jangka pendek diambil bagi mengatasi masalah banjir namun pihaknya sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memohon untuk projek pembinaan tebatan banjir bagi langkah jangkah panjang.
“Walaupun ada kawasan yang sudah dibina ban namun masih ada lagi kes-kes seperti pada pagi ini berlaku sedikit banjir di sebelah Masjid Tanah dan Lubok China.
“Banjir berlaku disebabkan hujan lebat turun dari Negeri Sembilan melalui Sungai Rembau dan melimpah ke kawasan berhampiran.
“Walaupun sudah dibina ban tetapi masih ada lagi kes-kes ini dan kita akan lihat tempat-tempat yang perlu dibuat ban terutamanya di kawasan selekoh sungai kerana di selekoh sungai banyak berlakunya limpahan air,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Cabutan Kerja Undi Perdana di Mini Stadium Bistari di sini, hari ini.
Menurutnya, meskipun langkah jangka pendek mengatasi banjir sudah diambil dengan pembinaan ban di Sungai Pengkalan Pauh, Lubok China, namun limpahan air masih berlaku.
“Pagi ini berlakunya lagi kes-kes yang perlu dibina ban di tepi sungai misalnya seperti di Kampung Pengkalan Pauh, sebelum ini kita sudah buat ban tetapi berlaku lagi di sebelah lain,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.