BINA BAHARU, BAIK PULIH 10 RUMAH NELAYAN MELAKA
KUALA LINGGI 12 Januari – Sebanyak 10 perumahan nelayan disasarkan akan dibina baharu dan dibaik pulih menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tahun ini.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia membabitkan sebanyak lima projek bina baharu dan lima projek baik pulih di seluruh negeri dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM520,000.
Menurut beliau, projek itu disediakan khas untuk keluarga nelayan berpendapatan rendah bagi membantu mereka menikmati kualiti hidup yang lebih selesa.
“Bantuan ini membabitkan tiga komponen utama PKPN iaitu baik pulih rumah nelayan, bina baru rumah nelayan dan penempatan semula rumah nelayan.
“Pada tahun 2024 LKIM telah menerima sepuluh permohonan untuk baik pulih rumah nelayan dan kesemuanya telah siap dibaik pulih dengan kos sebanyak RM130,000 untuk seluruh Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni Mamat Yusof, seorang nelayan yang menerima bantuan baik pulih rumah di bawah program PKPN di Teluk Gong sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) Dewan Undangaan Negeri (DUN) Kuala Linggi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM Rashima Baharuddin.
Dr. Muhamad Akmal berkata, pembangunan sosio-ekonomi nelayan menjadi antara fokus utama LKIM bagi membantu nelayan di negeri ini menambah pendapatan.
Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada kemajuan perusahaan perikanan negara disamping memastikan bekalan ikan mencukupi.
“Pada masa sama, pelbagai jenis bantuan seperti bantuan peningkatan peralatan tangkapan ikan (touchpoint), bantuan bencana dan lain-lain bantuan akan diteruskan sebagai keprihatinan kepada kebajikan golongan nelayan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.