
BIMBING BELIA KECICIRAN AKADEMIK JADI USAHAWAN
SERI NEGERI 29 April – Sebanyak 30 program pemantapan dan pembangunan belia dilaksanakan sepanjang tahun oleh Kerajaan Negeri dalam menggalakkan belia yang keciciran akademik menceburi bidang keusahawanan.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin, berkata, bagi merealisasikan hasrat itu Kerajaan Negeri menubuhkan Bahagian Khidmat Musaadah dan Pembangunan Belia, selain menyediakan peruntukan bagi memperkasakan belia Melaka dalam bajet tahunan.
Katanya, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan agensi-agensi keusahawanan antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA) agar belia yang keciciran dalam akademik dapat berjinak dalam bidang keusahawanan dan perniagaan.
“Pihak MARA telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan belia keciciran akademik menjadi usahawan kecil bagi meneruskan kelangsungan hidup antaranya menerusi Program Kemahiran TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) di GIATMARA dengan mengadakan Program Training Income Generation selama enam bulan.
“Selain MARA, UDA Holding juga turut menyediakan tapak perniagaan seperti di MOTERN WALK kepada belia berminat dalam bidang keusahawanan, setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) pada hari ketiga Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas, hari ini.
Katanya, menerusi Dana Bantuan Kasih Niaga pula, peruntukan sudah disalurkan kepada lebih 1,300 penerima bagi tempoh 2021 sehingga 2024.
“Menerusi Dana Bantuan Kasih Niaga agihan peruntukan adalah antara RM1,000 bagi setiap syarikat atau usahawan. Nilai peruntukan tahunan pula antara RM200,000 hingga RM 1 juta.
“Tahun lalu, sejumlah RM200,000 peruntukan disediakan dan memberi manfaat kepada 100 penerima, daripada jumlah itu seramai 43 atau 64 peratus adalah mereka bawah usia 40 tahun,” katanya.
Jelasnya, sehingga kini pula terdapat 18,483 penerima di bawah 40 tahun yang lesen aktif di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.