Sorting by

×

Bimbang bekalan ayam, telur terjejas menjelang Syawal

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

JASIN 4 April – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan bekalan ayam, telur dan sayur-sayuran pada awal Ramadan ini adalah mencukupi untuk seluruh negara.

Meskipun begitu, Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah tetap menyuarakan kebimbangan terhadap bekalan ayam dan telur yang dikhuatiri terjejas apabila menjelang Syawal berikutan permintaannya yang dijangka meningkat.

Katanya, berdasarkan tinjauan semasa di beberapa ladang, bekalan dilihat masih stabil, namun ia masih tidak dapat memberi jaminan sama ada mencukupi atau tidak untuk menampung bekalan pada Aidilfitri.

“Pada ketika ini kita paling bimbang terhadap ayam dan telur.

“Kita harap bekalan itu akan mencukupi kerana berdasarkan tinjauan awal kita jangkakan bekalan berada pada tahap stabil, cumanya kita belum dapat menganggarkan sama ada ia mencukupi atau tidak.

“Apapun, kita sangat berharap bekalan itu mencukupi dan stabil sehingga Aidilfitri nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Kasih Ramadan MAFI dan Parlimen Jasin di Perkarangan Pusat Khidmat Parlimen Jasin, hari ini, yang turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Ghazale Muhamad.

AHMAD di Program Jualan Kasih Ramadan MAFI dan Parlimen Jasin di Perkarangan Pusat Khidmat Parlimen Jasin. (Foto: Ahmad Hamzah)

Mengulas mengenai program itu, Ahmad berkata, jualan itu diadakan bertujuan memberi peluang kepada rakyat membeli barangan pada harga istimewa bersempena kehadiran Ramadan.

Katanya, menerusi program itu, beberapa kombo barangan telah dijual pada harga murah berbanding asal, seperti contoh kombo A yang menawarkan beras 5 kilogram, ayam seekor, telur 30 biji, ikan dua kilo dan nanas yang dijual pada harga RM30 sahaja berbanding RM58 (harga asal).

Selain itu, kombo buah-buahan yang menawarkan tembikai, mangga, buah naga dan jambu batu juga dijual pada harga RM15 sahaja, manakala kombo jualan sayur-sayuran hanya pada harga RM10.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima cukup menggalakkan. Kita berharap inisiatif ini dapat membantu meringankan beban orang ramai bersempena Ramadan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jasin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

732
Kongsi :
Previous post 100 penguatkuasa KPDNHEP Melaka pantau premis, bazar Ramadan
Next post Jualan Proton meningkat 41.2 peratus bulan ke bulan pada Mac 2022
Ubah saiz-+=