Bimbang ancaman pokok ru tumbang Pantai Puteri

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PANTAI KUNDOR 31 Mei – Kejadian pokok ru tumbang di Pantai Puteri, di sini semakin membimbangkan pengunjung kerana ia dikhuatiri boleh mengancam keselamatan mereka.

Satu demi satu pokok yang tumbang turut menjejaskan keindahan Pantai Puteri yang berjaya menarik kehadiran ramai pelancong sejak ia dimajukan pada awal tahun 1990-an.

Pengunjung dari Jitra, Kedah yang hanya ingin dikenali sebagai Haizam berkata, ketika dia dan 30 anggota rombongan dari sebuah maahad tahfiz di Jitra tiba di pantai itu pagi ini, mereka mendapati sebatang pokok ru sudah tumbang di gigi pantai.

“Kami tiba kira-kira jam 8 pagi tadi dan terkejut melihat sebatang pokok ru sudah tumbang di gigi pantai.

“Kami menjadikan pokok tumbang itu sebagai tempat untuk bermain air dan ada juga pelajar tahfiz memanjat dahan pokok sebelum terjun ke dalam laut,” katanya ketika ditemui di pantai berkenaan.

Bagaimanapun, pengunjung berusia 26 tahun itu berkata, keselamatan pelancong harus diutamakan pihak yang bertanggungjawab dalam penyelenggaraan pantai peranginan itu dan harus menebang pokok yang mengancam keselamatan.

Sementara itu tinjauan di pantai berkenaan turut menemukan sebatang lagi pokok yang sama sudah tumbang kira-kira 100 meter dari pokok yang menjadi lokasi pelajar tahfiz bermain air.

Pekerja memotong batang dan dahan pokok ru yang tumbang di Pantai Puteri, Tanjung Kling.

Beberapa petugas syarikat kontraktor yang membersihkan pokok tumbang bertungkus-lumus memotong dahan dan batang pokok berkenaan untuk dibawa ke tempat lain.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Abdul Hakim Hamzah berkata, Pantai Puteri adalah antara kawasan yang terbabit dalam kerja pembaikan pantai yang sudah dilaksanakan sejak empat tahun lalu.

Katanya, sebelum ini ada beberapa pokok ru tumbang akibat hakisan pantai dan jabatan berkenaan sudah melaksanakan kerja pembaikan pantai dengan membina benteng pemecah ombak atau ‘groyne’.

Bagaimanapun, katanya, dua pokok ru yang tumbang itu didapati bukan berpunca daripada hakisan pantai, sebaliknya patah di bahagian pangkal.

“JPS sudah memperoleh peruntukan RM30 juta untuk meneruskan kerja pembaikan pantai di Pantai Puteri dan sekarang berada pada peringkat melantik perunding kerja berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2154
Kongsi :
Previous post Pemimpin jangan salah kuasa – Dira
Next post Tajuk-Tajuk Utama Akhbar: Selasa 31 Mei
Ubah saiz-+=