Bilangan penganggur di Malaysia menurun pada Nov 2021
Bilangan penganggur pada November berkurang bawah 700,000 orang buat pertama kalinya sejak April 2020, menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata kadar pengangguran pada November 2021 adalah 4.3 peratus, tidak berubah berbanding bulan sebelumnya.
Mohd Uzir berkata penduduk bekerja pada November 2021 meningkat 0.4 peratus bulan ke bulan mencatatkan 15.61 juta orang, berbanding 15.55 juta pada Oktober 2021.
Kadar penyertaan tenaga buruh pada November 2021 terus meningkat kepada 68.9 peratus berbanding 68.8 peratus pada Oktober 2021, dengan bilangan tenaga buruh bertambah sebanyak 0.3 peratus kepada 16.30 juta berbanding 16.26 juta orang pada bulan sebelumnya.
“Kedudukan tenaga buruh pada November 2021 kekal stabil dengan peningkatan guna tenaga yang berterusan dan penurunan dalam bilangan penganggur berikutan pengoperasian semula lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial yang merangsang kesan positif terhadap pasaran buruh,” katanya.
Mohd Uzir berkata nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga meningkat 0.2 mata peratus kepada 66.0 peratus pada November 2021 berbanding 65.8 peratus pada Oktober 2021.
“Mengikut sektor ekonomi, guna tenaga dalam sektor perkhidmatan terus mencatatkan trend peningkatan terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan & minuman serta pengangkutan & penyimpanan.
“Trend yang sama turut dilihat dalam sektor pembuatan dan pembinaan manakala guna tenaga dalam sektor pertanian serta perlombongan & pengkuarian terus menurun,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.