Sorting by

×

Bila Larut Malam Zoo Melaka bermula 10 malam

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH – Zoo Melaka menjadi antara produk tarikan pelancong yang menawarkan tiket berharga RM10 bersempena Bila Larut Malam atau Melaka Nightlife pada Sabtu pertama setiap bulan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata, bersempena pelaksanaan inisiatif itu, Zoo Melaka akan beroperasi bermula jam 10 malam sehingga 1 pagi.

Jelasnya, penetapan waktu operasi itu diputuskan selepas sesi perbincangan dibuat dengan mengambil kira beberapa aspek termasuk keadaan haiwan.

“Untuk aktiviti Bila Larut Malam, Zoo Melaka akan beroperasi bermula jam 10 malam hingga 1 pagi, manakala operasi pada waktu siang adalah sama seperyi biasa.

“Namun begitu, untuk Bila Larut Malam, pengunjung perlu menaiki tram yang disediakan dan bukannya berjalan seperti pada waktu siang memandangkan kita perlu mengambil kira aspek keselamatan dan waktu rehat haiwan di dalam zoo.

“Selain itu, tidak semua haiwan atau seksyen akan dibuka kepada pengunjung sebaliknya hanya seksyen Night Safari akan dibuka antaranya gajah, singa dan harimau,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Sapiah, kekuatan pekerja yang akan bertugas bersempena aktiviti Bila Larut Malam adalah sama dengan jumlah operasi pada waktu siang.

“Untuk aktiviti ini, semua pekerja akan keluar bertugas bagi mengawal keadaan di dalam zoo selain memastikan ia berjalan lancar mengikut perancangan ditetapkan.

“Maksudnya kekuatan pekerja sama seperti operasi pada waktu siang. Kita harapkan pengunjung dapat pengalaman menarik ketika mengunjungi Zoo Melaka pada waktu malam,” katanya.

Untuk rekod, selain Zoo Melaka, produk pelancongan lain yang terlibat dengan inisiatif Bila Larut Malam adalah Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Melaka Floating Market dan Muzium Penjara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

637
Kongsi :
Previous post Kisah penjara tertua negara bawa tuah
Next post Cuti sekolah: Eco-Cruise Sungai Linggi tawar diskaun 30 peratus
Ubah saiz-+=