Bila Larut Malam dapat reaksi positif peniaga

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 2 Jun – Program Bila Larut Malam yang diperkenalkan bermula separuh tahun kedua 2024 mendapat reaksi positif daripada peniaga dan pelancong.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, perkara itu dizahirkan peniaga dan penjaja ketika sesi ‘walkabout’ yang diadakan malam tadi.

Malah, menurutnya, ada di antara jualan oleh peniaga mendapat sambutan cukup hebat sehingga pengunjung terpaksa beratur satu jam untuk membeli produk yang ditawarkan.

“Seperti contoh, pancake yang dijual di Uptown Pahlawan Walk menjadi tular dan orang ramai sanggup beratur panjang untuk membelinya.

“Malah, terdapat pelbagai produk lain yang dijual turut menerima sambutan luar biasa apabila operasi perniagaan dilanjutkan sehingga jam 3 pagi.

“Boleh dikatakan pada sesi ‘walkabout’ oleh Ketua Menteri, lebih 90 peratus yang ditemui memberi respon cukup positif,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Rentetan sambutan luar biasa yang diterima peniaga pada program Bila Larut Malam, Shadan bagaimanapun mengingatkan peniaga dan penjaja agar memastikan aspek kebersihan menjadi keutamaan.

Tegasnya, MBMB tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan seperti kompaun sekiranya ada di antara peniaga yang gagal memastikan kebersihan di premis jualan masing-masing.

Sementara itu, seorang peniaga yang ditemui menyatakan rasa syukur kerana jualannya meningkat dua kali ganda apabila Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif Bila Larut Malam pada Sabtu pertama setiap bulan.

Norliza Mohamed Yusof, 48, yang menjual pelbagai jenis cenderamata dan permainan untuk kanak-kanak berkata, inisiatif yang diilhamkan Ketua Menteri itu membuka peluang untuknya dan peniaga lain menjana pendapatan lebih berbanding hari-hari biasa.

“Sebelum ini, kami hanya berniaga sehingga jam 10 malam pada hari biasa dan sehingga 11 malam pada hujung minggu, tetapi apabila diadakan program ini, kami dapat beroperasi lebih masa dan sambutan juga amat baik.

“Jika dapat tambah hari untuk program ini juga lebih baik kerana ia memberi peluang untuk kami menjana pendapatan lebih berbanding waktu biasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

115
Kongsi :
Previous post Bila Larut Malam: Pelancong rasa berbaloi bercuti ke Melaka
Next post Teroka Muzium Penjara waktu malam
Ubah saiz-+=