‘Bikin’ kopi depan pelanggan
BANDA HILIR 18 Julai – “Lebih setahun sejak pandemik COVID-19, niaga nasi campur nak dapat RM10 pun susah tetapi kami tak putus asa dan cuba apa saja peluang niaga,” cerita Fadilah Abdul Latiff, penjual minuman francais Kopi Hainan Melaka Raya.
Melalui jualan air kopi Hainan secara tempahan atas talian sejak sebulan lalu, Fadilah,24, dan suami, Mohd Firdaus Jamal,28, mampu meraih pendapatan lebih RM100 sehari.
Malah, pada masa ini, mereka terpaksa menolak tempahan kerana sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
“Kami tukar strategi jualan dengan cara bukan sahaja hantar tempahan tetapi sediakan terus kepada pelanggan di hadapan rumah atau tempat kerja mereka bagi menjamin kesegaran dan kualitinya.
“Demi menjaga kualiti minuman, tempahan juga perlu dibuat awal iaitu sehari sebelum dan dihadkan kepada 15 lokasi tempahan sahaja,” katanya ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di kedai mereka dekat Taman Melaka Raya 1.
Menurutnya, mereka tidak mahu mengejar tempahan kerana apa yang penting dalam menjual air minuman kopi Hainan ialah kualiti.
Mengimbau kepayahan lalu, menurut Fadilah, dia terpaksa menghentikan perniagaan restoran nasi campur yang diusahakan sejak enam tahun lalu kerana tiada pelanggan dan beralih menjual makanan frozen selama setahun, namun tetap tidak berhasil.
Katanya, selain merayu pemilik bangunan agar mengurangkan kadar sewa daripada RM5,000 sebulan kepada RM2,000 ketika ini, dia juga terpaksa menghentikan kerja dan berhutang gaji tiga pekerjanya.
“Akhirnya, rakan suami mencadangkan supaya cuba menjual kopi Hainan dan selepas beberapa hari mencuba, sambutan pelanggan khususnya tempahan dalam talian amat baik tetapi ada yang merungut tidak puas hati dengan kualiti kerana ais cair dan tiada krim pemutar.
“Ketika itu, kami tidak tahu cara apa lagi untuk teruskan perniagaan ini tetapi suami kata mahu cuba sediakan kopi depan pelanggan yang membuat tempatan.
“Dengan cara ini, kualiti air tetap segar malah untuk menyediakan tempahan tidak sampai 10 minit,” kata ibu kepada tiga cahaya mata berusia 13 hingga setahun setengah itu.
Menurutnya, pada awalnya dia hanya membuka gerai kopi hainan di hadapan restorannya tetapi tiada sambutan sebelum beralih mengambil tempahan atas talian serta menawarkan penghantaran percuma.
“Selepas menawarkan khidmat penghantaran dan menyediakan tempahan di depan pelanggan, baharulah nampak ada respon daripada orang ramai dan sejak itu tempahan semakin banyak setiap hari.
“Walaupun harga murah RM6 berbanding kopi berjenama lain tetapi kita mahu pelanggan puas hati dengan kualiti rasa kopi Hainan Melaka Raya, sesuai dengan tagline kami ‘harga warung rasa kayangan’,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.