‘BIJAK SPM’ PERKASA MUTU PENDIDIKAN MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

TABOH NANING 30 Ogos – Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan RM639,800 bagi melaksanakan program pemerkasaan pendidikan iaitu Program Bijak SPM khusus buat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program yang sebelum ini dikenali sebagai Care SPM bertujuan meningkatkan Gred Purata SPM dan Peratus Layak Sijil SPM Tahun 2024 sekali gus merealisasikan aspirasi sistem kecekapan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Jelas Ketua Menteri, Kerajaan Negeri komited memastikan sektor pendidikan di Melaka terus diberi perhatian bagi mendepani segala cabaran jangka Panjang dalam melahirkan modal insan yang berkualiti dan berilmu pengetahuan tinggi.

“Oleh itu, kita melancarkan sebuah program pemerkasaan pendidikan buat 12,796 calon SPM 2024 menerusi Program Bijak SPM yang akan dilaksanakan di semua daerah di negeri Melaka ini.

“Sebagai tanda keprihatinan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM639,800 untuk dimanfaatkan kepada 99 buah sekolah menengah di seluruh Melaka yang mana bagi daerah Alor Gajah ia akan membabitkan seramai 2,954 pelajar dengan nilai RM147, 000.

“Manakala di daerah Melaka Tengah, ia membabitkan seramai 7,524 pelajar dengan peruntukan diperoleh sebanyak RM376,200 dan Program Bijak SPM di daerah Jasin pula membabitkan seramai 2,318 pelajar dengan nilai peruntukan RM115,900,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang STPM, Bijak Sejarah A STPM, Pelajar Huffaz Bagi Sesi Akademik 2023 Dan Pelancaran Bijak SPM Tahun 2024 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Abdul Aziz Baba.

Ab Rauf berharap menerusi program itu, ia dapat memberi semangat baharu kepada pelajar untuk mengikuti bengkel dan teknik menjawab dengan lebih sistematik sekali gus memberi motivasi kepada mereka untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Ada kalanya status kewangan sekolah menghadapi kekangan dari segi peruntukan kewangan untuk melaksanakan pelbagai program kecemerlangan oleh itu dengan adanya program sebegini ia diharapkan menjadi asbab anak-anak Melaka mencapai kejayaan yang membanggakan.

“Anak-anak juga diingatkan teruskan usaha beriltizam untuk sentiasa menggali ilmu pengetahuan sekali gus bersedia dalam mendepani persaingan.

“Malah Kerajaan Negeri akan sentiasa meletakkan kepentingan pendidikan sebagai agenda utama dalam proses transformasi selari dengan hasrat untuk menjadikan Melaka sebagai hab pendidikan tersohor di rantau ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

376
Kongsi :
Previous post MAIM PERJELAS KISAH SEBENAR ‘SUAMI ISTERI’ CURI MILO UNTUK RAWATAN IBU
Next post MELAKA CADANG ABADIKAN NAMA LAKSAMANA CHENG HO
Ubah saiz-+=