‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ lambang kehebatan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SERI NEGERI 24 Ogos – Slogan baharu ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat yang diilhamkan Ketua Menteri disifatkan sebagai simbol kehebatan Melaka.

Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam menyambut baik slogan baharu itu memandangkan ia menjadi lambang kehebatan dan kepahlawanan Melayu yang unggul yang mana nama Hang Tuah dan Hang Jebat terpahat gagah dan terukir megah dalam lipatan sejarah serta keperwiraan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka Abad Ke-15.

“Oleh yang demikian, saya yakin slogan baharu ini yang merupakan kesinambungan daripada slogan sedia ada iaitu “Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia” akan dapat mengukuhkan serta memberi suntikan semangat kepada seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri untuk menjadikan Negeri Melaka lebih progresif, dinamik dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-74 Yang di-Pertua Negeri di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tun Mohd Ali turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di atas pelantikan sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13.

Beliau berharap pelantikan pentadbiran Kerajaan Perpaduan Negeri yang baharu akan terus membangunkan Negeri Melaka dan membentuk kerajaan yang kukuh untuk membawa rakyat serta negeri ini ke aras yang lebih tinggi, maju dan sejahtera.

“Di kesempatan ini juga saya turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri Melaka Ke-12 di atas jasa dan sumbangan beliau terhadap pembangunan negeri ini. Sesungguhnya, jasa dan budi baik Yang Berhormat amatlah dihargai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5730
Kongsi :
Previous post Melaka jadi Pusat Kecemerlangan TVET – KM
Next post Dasar, program Melaka harus utamakan rakyat – Tun Mohd Ali
Ubah saiz-+=