Sorting by

×

Bidang kewartawanan perlu seiring arus kemodenan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

LENDU 6 Januari – Arus kemodenan masa kini memerlukan pelbagai bidang dalam negara melakukan transformasi ke arah digitalisasi.

Ini termasuklah dalam bidang kewartawanan dan penerbitan yang dikaitkan sebagai antara cabang penting dalam kemajuan sesebuah negara.

Justeru, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh meminta pengamal media di negeri ini untuk melakukan anjakan paradigma dalam menghasilkan berita yang bukan sahaja tepat dan sahih, malah mengikut prinsip dunia di hujung jari.

“Dalam dunia serba baharu ini, kaedah dalam bidang penerbitan dan kewartawanan juga perlu berubah. Jika dahulu, seorang wartawan terpaksa balik untuk menulis berita dengan mesin taip, kini semua itu perlu secepat dan sepantas yang mungkin.

“Sesuai dengan perkembangan dunia baharu ini, saya berharap pendedahan dapat dibuat dengan mencerna minda anak-anak dalam bidang kewartawanan tentang betapa pentingnya maklumat disampaikan secara sahih dan cepat berlandaskan fakta semasa.

“Ini kerana dalam dunia serba canggih, jika maklumat disampaikan secara salah, ia akan menarik 1,001 persepsi negatif masyarakat dan ia amat sukar untuk memperbetulkan semula fakta tersebut, selain akan mengambil masa yang panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan #MC Live 7.0 Wahana Komunikasi dan Penerbitan di Dewan Taming Sari UiTM Kampus Alor Gajah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose; Naib Canselor UiTM Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, pengamal media yang ada di Negeri Melaka pada masa ini perlulah menjalin kerjasama dengan pelajar-pelajar dalam bidang kewartawanan dalam mengangkat kembali martabat profesion itu ke aras lebih tinggi.

“Semoga kerjasama ini dapat memperincikan satu kaedah termoden supaya bila anak-anak ini (pelajar kewartawanan) keluar ke dunia nyata nanti mereka sudah bersiap sedia untuk bergelar seorang pengamal media yang seiring dengan arus kemodenan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1487
Kongsi :
Previous post KM pelawa pelajar IPT bersama majukan Melaka
Next post Melaka ada terumbu karang tercantik dunia
Ubah saiz-+=