Sorting by

×

Bidang jurubahasa isyarat akan dinaik taraf-KPWKM

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PUTRAJAYA 23 Feb. – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang berusaha menaik taraf bidang jurubahasa isyarat dan mengiktiraf kepentingan mereka dengan bermula di sektor awam, kata Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Ketika ini katanya terdapat 95 jurubahasa isyarat yang berdaftar di bawah Persekutuan Orang Pekak Malaysia berbanding 40,389 orang kurang upaya (OKU) pendengaran yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat setakat tahun lepas.

Bercakap ketika melancarkan program MySign: Kursus Bahasa Isyarat Malaysia secara maya di laman Facebook Institut Sosial Malaysia (ISM) hari ini, Rina berkata semua pihak harus menghindari tanggapan bahawa keperluan mempelajari bahasa isyarat terhad kepada golongan OKU pendengaran serta ahli keluarga mereka sahaja.

Rina turut menggesa agar semua warga KPWKM serta agensi di bawahnya mengambil inisiatif mempelajari sekurang-kurangnya peringkat asas komunikasi bahasa isyarat.

“Pelanggan yang hadir ke KPWKM dan agensi adalah termasuk OKU pendengaran dan pertuturan, oleh yang demikian pengetahuan serta kemahiran berbahasa isyarat ini merupakan nilai tambah yang sewajarnya ada untuk kita menyantuni semua golongan masyarakat di negara ini,” katanya.

Mengenai MySign, Rina berkata kursus anjuran ISM itu pertama kali diadakan secara maya bermula hari ini bagi memberi latihan dan panduan asas tentang cara-cara menggunakan bahasa isyarat.

Seramai 150 peserta daripada sektor awam dan swasta mengikuti kursus itu secara serentak hari ini berbanding antara 30 dan 40 orang pada satu-satu masa ketika dilaksanakan secara bersemuka sejak 2006, katanya.

Beliau berharap peserta yang menerima latihan itu mampu menjadi ejen perubahan bagi mewujudkan persekitaran dan masyarakat yang lebih inklusif, terutamanya bagi golongan OKU pendengaran.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

510
Kongsi :
Previous post Wanita ketua sindiket antara enam ditahan edar heroin base bernilai RM7.8 juta
Next post OKU rempuh restoran, seorang tukang masak maut, seorang cedera.
Ubah saiz-+=