Sorting by

×

Biaya caruman 100 suri rumah asnaf Alor Gajah

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

MACHAP JAYA 15 Julai – Seramai 100 suri rumah dalam kalangan asnaf dicarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hasil tajaan Parlimen Alor Gajah.

Ahli Parlimennya, Adly Zahari berkata, bantuan itu diberikan bagi meringankan beban suri rumah asnaf yang disifatkan sebagai golongan yang perlu dilindungi.

“Suri rumah yang dipilih ini disenaraikan dalam golongan asnaf kerana kita harus melihat keperluan seharian mereka.

“Ini adalah keutamaan kita malah kita harap akan ramai lagi dicarum kerana kegiatan yang dilakukan seharian juga cenderung kepada masalah keselamatan dan ini bagi memastikan golongan ini wajar dan perlu segera dilindungi untuk masa depan anak-anak dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Outreach dan CSR Perkeso 2023 diadakan di Dewan Serbaguna Felda Tun Ghafar, Hutan Percha, di sini, semalam, yang turut dihadiri Pengarah Perkeso negeri, Abd Razak Omar.

SKSSR yang diperkenalkan pada Disember tahun lalu telah merekodkan seramai 6,318 suri rumah di Melaka dicarum di bawah Perkeso.

Daripada jumlah itu, secara keseluruhan 179,607 orang suri rumah di seluruh negara telah mencarum di bawah SKSSR.

Dalam pada itu, Adly berkata, kebajikan perlindungan Orang Asli yang bekerja sendiri juga merupakan antara tumpuan kerajaan bagi membela nasib golongan tersebut.

Katanya, inisiatif Kerajaan Negeri juga turut disalurkan apabila 30 orang asli dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya turut diberikan perhatian di bawah Skim Perlindungan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

“Golongan-golongan kurang kemampuan ini perlu diberikan perhatian daripada aktiviti pekerjaan seharian mereka kerana kita harus lihat masa depan mereka sekiranya berlaku perkara-perkara diluar jangka,” katanya.

Untuk rekod, pekerja yang mencarum SKSPS di negara ini berjumlah 665,782, setakat 9 Julai lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 16,668 individu di Melaka telah mencarum dan layak menerima insentif SPS Padanan Caruman di bawah Belanjawan 2023 di mana golongan ini hanya perlu membayar kadar 20 peratus daripada caruman itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1216
Kongsi :
Previous post PM umum peruntukan RM10 juta untuk Amanah Ikhtiar Malaysia
Next post Perkeso Melaka buru majikan gagal carum pekerja
Ubah saiz-+=