Sorting by

×

BIASISWA MAIM BANTU FARAH NABIHA BERGELAR DOKTOR

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

BANDA HILIR 28 Disember – Meskipun berdepan kesukaran kerana kekangan kewangan namun ia bukan penghalang untuk wanita cekal ini mengubah nasib keluarga untuk bergelar seorang doktor.

Semangat insan bernama Farah Nabiha Hamdan, 25 ini tidak pernah padam meskipun berdepan tempoh sukar kerana tidak berjaya menerima biasiswa dan pembiayaan kewangan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Kursk State Medical University, Rusia, pada 2018.

Perjalanan penuh liku terpaksa diharungi anak sulung dari dua beradik itu apabila permohonan demi permohonan tidak berpihak kepadanya menyebabkan kos pengajian sepanjang dua tahun pertama terpaksa ditanggung keluarga.

Malah ibunya, Aida Abdul Hadi, 55, ketika itu terpaksa mengeluarkan simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membiayai pengajiannya.

“Ketika itu memang betul-betul sukar kerana duit simpanan emak hanya boleh biaya pengajian saya sampai tahun kedua sahaja dan dalam tempoh itu saya masih belum menerima sebarang tawaran pinjaman mahupun biasiswa.

“Untuk menampung perbelanjaan saya terpaksa menjual kuih dan makanan Malaysia di sana, mujurlah jualan agak laris dan daripada duit jualan itulah saya guna untuk belanja.

“Disebabkan perlu bahagikan masa untuk belajar dan menyiapkan kuih untuk dijual, masa tidur amat terhad malah ada hari saya langsung tidak tidur,” katanya ketika ditemui dikediamannya di Banda Hilir.

Menurutnya, dalam tempoh itu juga dia dan ibunya tidak berputus asa cuba membuat permohonan pembiayaan termasuk menghantar surat kepada Pusat Zakat Melaka.

“Emak ketika itu hampir menjual rumah dengan harga hanya kira-kira RM100,000 jauh daripada nilai yang ditetapkan oleh bank iaitu RM300,000 dan saya pula terfikir untuk pinjam daripada bapa saudara terdekat.

“Tanpa disangka pada 2020 ketika pulang bercuti hari raya saya menerima panggilan temuduga daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang mana temuduga itu dipengerusikan Ketua Menteri pada ketika itu.

“Sepanjang sesi temuduga itu saya cuba membuktikan bahawa saya benar-benar layak kerana selain dari keluarga kurang berkemampuan keputusan peperiksaan sepanjang dua tahun belajar juga cemerlang,” katanya.

Jelasnya, perit getir selama dua tahun yang dilaluinya bagaikan hilang sekelip mata apabila mendapat tahu dia menerima Biasiswa Mumtaz daripada MAIM.

“Alhamdulillah doa saya dan emak dimakbulkan apabila saya dipilih sebagai penerima biasiswa yang mana perbelanjaan untuk tempoh pengajian berbaki empat tahun bermula 2021 hingga 2024 ditanggung sepenuhnya dengan kos keseluruhan berjumlah kira-kira RM200,000.

“Biasiswa yang diterima amat membantu sepanjang menghabiskan tempoh pengajian, di mana saya tidak perlu lagi bersengkang mata menyiapkan kuih untuk jualan dan dapat memberi tumpuan penuh kepada pengajian,” katanya.

Menurut Dr. Farah Nabiha dia kini telah menamatkan pengajian dan bakal memulakan tugas sebagai doktor pada Februari depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

211
Kongsi :
Previous post 7 PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN MPAG SEPANJANG 2024
Next post MOHAMAD RUSLI DILANTIK KETUA POLIS DAERAH JASIN BAHARU
Ubah saiz-+=