Sorting by

×

Biar kurang pendapatan asalkan jangan dijangkiti COVID-19

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

AYER LIMAU 7 Jun – “Biarlah saya kekurangan pendapatan asalkan tidak dijangkiti COVID-19 dan lebih parah lagi jika saya menjadi penyebab pandemik itu merebak di kampung saya,” kata pemandu lori, Mohd Farid Rosni, 35.

Menurutnya, peningkatan kes COVID-19 di Selangor mendorongnya mengambil tindakan bercuti panjang kerana bimbang untuk ke negeri berkenaan.

Mohd Farid terpaksa melupakan sementara tugasnya sebagai pemandu lori tangki minyak sawit yang beribu pejabat di Pelabuhan Klang, Selangor sejak Januari lalu.

Katanya, tugas rutinnya ialah mengambil minyak sawit yang sudah diproses di beberapa kilang di Segamat, Johor dan Air Kuning di negeri ini untuk dibawa ke Pelabuhan Klang.

Mohd Farid- Foto DIN AHMAD

“Bagaimanapun, sejak kes pandemik itu dicatatkan terlalu tinggi di negeri berkenaan, saya mengambil keputusan untuk bercuti panjang dan ia mendapat kebenaran majikan.

“Saya amat bimbang seandainya dengan berulang alik ke negeri itu, saya dijangkiti virus berbahaya dan yang lebih teruk lagi jika saya menjadi penyebab pandemik itu dibawa ke kampung saya,” katanya ketika ditemui di kolam penternakan ikan tilapia merah di
Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina di sini hari ini.

Mohd Farid berkata, dia juga tidak mahu menjadi punca pandemik berkenaan menular dalam kalangan anggota keluarganya.

“Wabak itu tidak dapat dikesan dengan mata kasar, sebaliknya merebak dengan amat cepat melalui bawaan udara dan beberapa punca lain,” katanya.

 

MOHD Farid memberi makan kepada anak ikan tilapia merah yang belum mencapai usia tiga bulan di kolamnya di Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina, Masjid Tanah.

Sehubungan itu, Mohd Farid menghabiskan waktunya dengan memastikan kira-kira 26,000 ikan tilapia merah yang dipelihara dalam tiga kolam, mampu membesar dengan sempurna.

Katanya, kolam A yang berukuran 30 x 15 meter mengandungi 20,000 anak ikan tilapia berusia antara satu hingga dua bulan manakala kolam B yang berukuran 24 x 15 meter mengandungi 3,000 anak ikan berkenaan.

“Kolam C yang sama saiz dengan kolam B mengandungi 3,000 ikan tilapia dewasa yang sudah boleh dipasarkan kerana sudah mencapai berat antara 800 gram hingga sekilogram seekor,” katanya.

Dia berkata, anak ikan berkenaan dibeli daripada penternak di Kota, Negeri Sembilan pada harga 18 sen seekor.

Katanya, tilapia merah dewasa dipasarkan pada harga antara RM7.50 hingga RM8 sekilogram bergantung kepada jumlah ikan yang dipesan pelanggan.

Katanya, meskipun terpaksa menunggu antara tujuh hingga lapan bulan untuk mengaut hasil, dia sanggup berbuat demikian kerana hasilnya yang menguntungkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

578
Kongsi :
Previous post KSN tinjau operasi SJR
Next post Kebakaran: Warga emas rentung, sempat telefon anak minta tolong
Ubah saiz-+=