Besar pengorbananmu Mohd Fakhrul
TABOH NANING 1 Mac – Usianya baharu 16 tahun dan masih bersekolah, namun amanah yang dipikulnya sudah seperti ketua keluarga biarpun tidak mempunyai pertalian darah dengan insan yang dianggapnya seperti ibu kandung.
Itulah takdir hidup yang perlu dihadapi Mohd Fakhrul Fitri Razali menjaga ibu tirinya, Azizah Bujang, 54, dan ibu saudara, Norila Bujang, 57, yang terlantar sakit sejak hampir empat tahun lalu.
Setiap hari, Mohd Fakhrul tidak pernah alpa melaksanakan tanggungjawab membersihkan diri kedua-dua wanita berkenaan sebelum ke sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Naning di sini.
Selepas pulang dari sekolah pula, anak tunggal itu akan segera memanaskan makanan sumbangan jiran tetangga sebagai alas perut kedua-dua insan tersayang berkenaan.
Azizah diserang angin ahmar sejak 2014 yang menyebabkan anggota tubuh sebelah kanan tidak mampu digerakkan manakala kakaknya pula menghidap diabetis kronik dan kehilangan kaki kanan pada 2010 diikuti kaki kiri pada 2016.
Kedua-dua wanita itu hilang tempat bergantung untuk meneruskan kehidupan sejak suami Azizah, Mohd Yusri Aziz meninggal dunia pada 2017.
Menurut Mohd Fakhrul, sejak ibu dan ibu saudaranya terlantar, dia memikul tugas membuat semua kerja di rumah, termasuk memasak.
“Saya anak angkat ibu dan ayah sejak kecil dan saya tidak pernah bertemu ibu dan bapa kandung tetapi saya amat kasih pada mereka yang membesarkan saya.
“Selain itu, jiran juga sangat banyak membantu terutama Kakak Noorusa’adah Ramli dan Abang Hasbullah Hamid yang menghulurkan makanan dan membantu memandikan ibu dan mak cik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Buloh, di sini hari ini.
Mohd Fakhrul berkata, kehidupan mereka sekadar bergantung kepada pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ibu sebanyak RM900 sebulan dan sumbangan bahan makanan bernilai RM200 sebulan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
“Jika tiada sesiapa yang menghulurkan makanan, saya akan memasak nasi goreng hasil tunjuk ajar ibu atau hanya memakan biskut.
“Untuk mencari pendapatan sampingan, saya adalah jgua menjual minuman yang dibeli daripada pembekal dari Kuala Lumpur sebelum menjualnya kepada penduduk kampung,” katanya.
Sementara itu, Noorusa’adah, 48, yang juga Presiden Komuniti Rekreasi Insan Istimewa (KRIIS), berkata, dia dan anggota KRIIS membantu insan istimewa yang terlantar sakit, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan seumpamanya.
Katanya, sumbangan orang ramai dimanfaatkan untuk menyediakan lampin pakai buang, selain mendapatan bahan makanan bagi meringankan bebanan perbelanjaan mereka.
Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Mohd Fakhrul boleh menghubunginya dengan menelefon 017-3065606 dan sumbangan untuk KRIIS boleh dibuat dengan menghubungi Noorusa’adah 011-13179001.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.