Sorting by

×

BESAR MAKNA APRESIASI KETUA MENTERI KEPADA KELUARGA PEKERJA PEMBERSIHAN

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 9 Disember – “Terima Kasih Ketua Menteri menghargai sekali gus mengiktiraf pekerja pembersihan di Negeri Melaka,” ujar Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Menurut Fairul Nizam, Majlis Apresiasi Pekerja Pembersihan 2024 Negeri Melaka yang dianjurkan Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu bukan sahaja memberi kesan pekerja pembersihan itu sendiri, bahkan memberi makna cukup besar kepada isteri, anak-anak dan keluarga mereka.

Beliau yang dibesarkan dalam keluarga pekerja pembersihan turut menzahirkan rasa terima kasih dan terharu apabila Kerajaan Negeri mengangkat wira dan wirawati tidak didendang dalam satu majlis penuh gilang gemilang.

“Allahyarham Roslan Hashim, ayah saya yang membesarkan kami adik beradik bekerja sebagai pekerja pembersihan lebih 30 tahun di Alor Gajah.

“Jadi sudah pasti, pada majlis apresiasi itu saya berasa terharu kerana kami keluarga yang membesar dalam kalangan pekerja pembersihan ini terasa segala pengorbanan dan sumbangan mereka ini dihargai.

“Kerana saya tahu peranan dan jasa serta sumbangan mereka (pekerja pembersihan) ini merentasi batas waktu, cuasa dan keadaan. Terima Kasih,” kata Fairul Nizam kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan turut menzahirkan harapan agar majlis seumpama itu dapat diangkat dan dijadikan sebagai acara tahunan di negeri ini.

“Acara tahunan meraikan pekerja pembersihan ini disambut setiap tahun pada 17 Jun, namun di peringkat negeri kita harap ia dapat dilaksanakan dengan mengeratkan ukhuwah sesama pekerja pembersihan daripada pelbagai agensi seperti yang dilakukan pada majlis ini.

“Diharapkan semua pekerja pembersihan akan terus mempunyai motivasi tinggi utk menjaga kebersihan negeri tercinta,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

232
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI MAHU ADAKAN PERJUMPAAN BERSAMA WARGA PENDIDIK MELAKA
Next post JANGAN BIARKAN PENDIDIKAN JADI ‘USANG’ – TOKOH GURU MELAKA 2024
Ubah saiz-+=