Berusaha ‘tarik hati’ majikan baharu
LENDU 23 Oktober – Walaupun pernah gagal dalam temuduga yang disertai sebelum ini, namun ia tidak mematahkan semangat para graduan berikhtiar mencari pekerjaan menerusi program Karnival Youth Career diadakan di Kompleks Sukan Masjid Tanah, hari ini.
Bagi Nurul Atikah Shamsudin, 26, merupakan graduan bidang Kejuruteraan Mekatronik dari Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), dia tetap berusaha bagi memastikan syarikat berkaitan mampu menawarkan pekerjaan kepadanya.
“Sebelum ini saya pernah hadir pada Karnival Kerjaya diadakan sempena Hari Keluarga Malaysia diadakan tempoh hari dan terus tetap berusaha mencari syarikat lain dalam penganjuran program seperti ini.
“Program yang diadakan ini ternyata memberi peluang kepada saya untuk mendapatkan pekerjaan dengan lebih mudah apabila dapat bertemu secara terus dengan majikan yang menawarkan pekerjaan.
“Saya harap akan ada rezeki ditempatkan untuk saya setelah berusaha mendapatkan pekerjaan sejurus selepas tamat pengajian ini kerana saya tidak mahu menunggu lama sebab tak mahu membuang masa dihabiskan begitu sahaja.
“Pada situasi sekarang banyak syarikat memerlukan pengalaman bekerja jadi saya mahu cari pengalaman itu sewajarnya tanpa membuang waktu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, pada Karnival Youth Career, Lendu International Arts Community dan Hari Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dari beberapa syarikat terlibat dalam negeri ini.
Menerusi penganjuran itu, Karnival Youth Career diadakan berkenaan telah menawarkan lebih 2,800 peluang pekerjaan melibatkan 15 majikan daripada pelbagai sektor.
Sementara itu, seorang pengunjung, Aisyah Amalin Abdul Jabar, 22, berpendapat program diadakan itu wajar diteruskan secara menyeluruh di negeri ini bagi memberi peluang kepada pencari pekerjaan sekali gus mampu mengurangkan kadar pengangguran di Melaka.
Katanya, pelbagai syarikat terlibat telah menawarkan pelbagai jenis pekerjaan perlu direbut oleh anak muda terutama lepasan graduan tanpa perlu memilih pekerjaan yang ditawarkan demi sebuah pengalaman.
“Kepada remaja khususnya belia di luar sana yang mahu mencari pekerjaan mereka perlu berusaha untuk datang ke sini untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang bersesuaian buat mereka kerana penganjuran ini banyak menawarkan pelbagai pekerjaan dari pelbagai bidang.
“Bagi saya ia perlu diteruskan kerana kebanyakkan anak muda hari ini menganggur ataupun ada yang bekerja di luar dari bidang mereka pelajar. Jadi penganjuran ini memang perlu dilaksanakan secara meluas di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.