Sorting by

×

Beruang matahari tersesat di kawasan sawah berjaya ditangkap

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

ALOR SETAR, 2 Feb – Seekor beruang matahari dipercayai tersesat di kawasan sawah di Kampung Selengkoh, Yan, berjaya ditangkap kira-kira 12.50 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah Jamalun Nasir Ibrahim berkata beruang betina dengan anggaran berat 90 kilogram (kg) itu dipercayai dari hutan di Gunung Jerai.

“Beruang itu dipercayai telah keluar daripada habitatnya mungkin ketika sedang keluar mencari makanan dan tersesat memasuki kawasan kampung semasa mencari jalan untuk pulang semula ke dalam hutan.

“Beruang berkenaan berjaya ditangkap menggunakan ubat pelali dengan turut dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya kepada Bernama.

Jamalun Nasir berkata beruang itu akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak untuk pemeriksaan selanjutnya.
Sementara itu, seorang anggota bomba bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan mengalami kecederaan serius pada pergelangan tangan kiri selepas diterkam haiwan berkenaan.

Ketua BBP Yan Penolong Penguasa Bomba Norhamidi Ali berkata anggota berusia 27 tahun itu dihantar ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kami menerima panggilan berhubung kehadiran seekor beruang di kawasan itu kira-kira pukul 10.15 pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja penyelamatan,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2224
Kongsi :
Previous post Menu Rahmah, amat menjimatkan
Next post Polis tahan seorang lelaki, rampas dadah bernilai lebih RM6 juta
Ubah saiz-+=