Bertempur bagai di medan perang
SUNGAI UDANG 28 September – Bagai berada di medan perang. Itulah situasi yang dapat digambarkan pada Pertandingan Army Endurance Challenge (AEC) 2022 di Kem Terendak, di sini, hari ini.
AEC yang dianjurkan Briged Ke-10 (Para) itu merupakan acara yang diadakan bagi menguji tahap kemampuan dan ketahanan tempur individu dan pasukan, disamping menguji semangat juang dan kepimpinan peserta.
Pertandingan itu direka mengikut persekitaran dan simulasi sebenar ketika pertempuran berdasarkan ‘core competency’ hasil daripada cetusan idea Panglima Tentera Darat (PTD) bagi menyahut hasrat Yang di-Pertuan Agong.
Setiap pasukan yang bertanding melibatkan seramai seorang pegawai dan 29 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada setiap formasi.
Pertandingan itu terbahagi kepada peringkat pertama yang memfokuskan kepada ‘leadership’ dan ‘physical and mental challenge’.
Ia diikuti penilaian ‘fighting skills’ yang berkonsepkan ‘agility shooting’ dan ‘Combat Person Readiness Outfit (CPRO)’ bagi peringkat kedua dan diakhiri dengan ‘inspection’.
Upacara perasmian pertandingan itu telah disempurnakan Panglima Briged Ke-10 (Para) Brigadier Jeneral Khairul Azmizal Ahmad Natal.
Manakala, upacara penutup di Lapang Sasar 400 Kem Terendak telah disempurnakan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan turut dihadiri Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zin.
Di akhir acara, Briged Ke-10 (Para) dinobat juara keseluruhan AEC 2022, manakala naib johan menjadi milik Gerup Gerak Khas dan Divisyen Keempat Infantri Malaysia meraih tempat ketiga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.