Bertahun derita bernafas dalam habuk arang batu

Masa Membaca:3 Minit, 17 Saat

PANTAI KUNDOR 8 Okt. – Penduduk di Kampung Balik Bukit, di sini, hidup dalam keadaan menderita apabila terpaksa bernafas dalam udara yang dicemari habuk arang batu dibawa lori dari sebuah pelabuhan berdekatan.

Penduduk asal, Azman Mohd Yatim berkata, masalah yang berlaku itu bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya ia sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Namun, situasi itu kian memburuk pada pertengahan tahun lalu apabila angin dari arah laut membawa habuk-habuk tersebut ke kawasan rumah penduduk sekitar.

Jelasnya, situasi itu bukan sahaja membuatkan rumah mereka kotor, bahkan turut menjejaskan tahap kesihatan keluarganya dan penduduk sekitar yang sering mengalami sesak nafas.

“Anak kembar saya yang tahun ini akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kerap ketinggalan dalam pelajaran kerana tahap kesihatan merosot akibat menghidu udara dicemari arang batu ini.

LORI dipercayai membawa muatan arang batu melalui kawasan rumah penduduk.

“Bukan kami sahaja, malah penduduk sekitar turut terkesan dari segi kesihatan. Duit sudah habis beribu disebabkan masalah kesihatan. Bagaimana kami nak hidup dalam keadaan tidak sihat ini?

“Kami juga terpaksa menutup pintu dan tingkap setiap masa kerana bimbang habuk masuk ke dalam rumah. Bahkan persekitaran rumah juga terpaksa disapu setiap hari dan pakaian yang dijemur di luar juga sering kotor,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, tengahari tadi.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya sudah banyak kali membawakan isu berkenaan kepada pengusaha arang batu dalam kawasan pelabuhan, namun aduan berkenaan tidak dipandang serius.

“Masa mula-mula buat aduan, adalah sekejap mereka berhenti dan datang bersihkan jalan. Tetapi tak lama selepas itu keadaan kembali seperti biasa.

“Lebih buruk, arang batu yang dibawa oleh lori ada yang bertaburan di atas jalan. Saya bimbang kalau bongkah arang batu itu dilanggar pengguna jalan raya. Takkanlah nak tunggu ada yang mati baru nak ambil tindakan?

NOR Azman (kiri) dan penduduk menunjukkan bongkah arang batu yang jatuh dari lori yang membawa muatan arang batu dipercayai menghala ke Negeri Sembilan.

“Lori-lori juga boleh dikatakan dua, tiga buah akan lalu di depan rumah kami setiap satu jam. Ada masanya, mereka dengan sesuka hati parkir di hadapan rumah kami.

“Jadi saya merayu sangat kepada pihak terbabit untuk menyelesaikan masalah ini. Kita tak mahu pampasan, tapi kita mahu masalah ini diselesaikan segera dan kalau boleh tutup sahaja tempat arang batu dalam pelabuhan,” tegasnya.

Nada sama turut disuarakan seorang lagi penduduk, Ghazali Rosni, 61 yang sudah lebih 30 tahun tinggal di kampung terbabit.

Dia berkata, kesihatan isterinya yang menghidap asma sering terjejas dan ia dikhuatiri melarat kepada cucu-cucunya yang masih kecil.

“Kalau boleh pindahkanlah projek ini ke tempat lain. Mungkin lagi sesuai ia dipindahkan ke Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) yang jauh dari rumah penduduk.

“Sudah cukup-cukuplah menyusahkan penduduk kampung yang terpaksa hidup bersama pencemaran udara seperti ini,” katanya.

Dilema yang dihadapi itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan.

Nor Azman yang ditemui di lokasi kejadian berkata sebanyak 120 buah rumah dan beberapa buah kilang terkesan dengan permasalahan yang disifatkannya semakin melampau itu.

“Keadaan sekarang semakin teruk dan nampaknya pengusaha arang batu seolah-olah tidak ambil berat dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.

“Kalau dapat dilihat sepanjang jalan ada banyak serpihan arang batu bertaburan dan itu membawa bahaya kepada penduduk bukan sahaja dari segi kebersihan tetapi juga kesihatan. Masalah dari orang lain tetapi penduduk yang terpaksa tanggung akibat,” katanya.

Justeru, pihaknya komited untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan mengadakan pertemuan bersama pengusaha arang batu, pihak pelabuhan dan jabatan serta agensi terlibat untuk menyelesaikan isu ini dengan segera.

Dalam tinjauan Melaka Hari Ini di lokasi mendapati, lori-lori yang membawa muatan arang batu itu aktif keluar dan masuk dari pelabuhan bermula jam 8 pagi.

Disebabkan kehadiran kami dikesan, difahamkan terdapat beberapa individu menunggu di luar pelabuhan dan memberi maklumat kepada pemandu-pemandu lori di dalam pelabuhan.

Bagaimanapun, salah sebuah lori yang membawa arang batu itu tidak bernasib baik apabila ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang meronda kawasan berkenaan.

Views:

984
Kongsi :
Previous post MHI dan MMU Melaka bincang kerjasama dalam sektor penyiaran dan animasi
Next post Melaka dalam proses haramkan Hizbut Tahrir
Ubah saiz-+=