Bersih persekitaran rumah atau kena tindakan – MBMB

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 28 Julai – Sebanyak 1,390 notis telah dikeluarkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kepada penduduk Taman Seri Duyong Seksyen 2 ekoran peningkatan kes wabak denggi di kawasan tersebut.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, notis itu dikeluarkan supaya penduduk melakukan pembersihan di lorong belakang premis kediaman mereka yang dipercayai menjadi punca pembiakan nyamuk Aedes.

Jelas beliau, notis itu juga dikeluarkan bertujuan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada penduduk sekitar betapa pentingnya menjaga kebersihan dan persekitaran tempat tinggal.

“Penduduk taman itu telah diarahkan untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes dan memastikan segala peralatan rumah yang tidak digunakan dibuang ke tong sampah yang disediakan.

“Kita akan laksanakan tindakan penguatkuasaan bermula Ogos iaitu selepas tamat tempoh notis pembersihan kepada penduduk.

“Jika didapati bersalah, kita akan ambil tindakan di mana penduduk boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 69, Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Karnival Kitar Semula Mega Trash To Cash 2024, yang disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin di Dataran Graha Makmur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Malaysia, Hee Loy Sian dan Pengarah SWCorp Melaka, Nor Zaki Md Nor.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4235
Kongsi :
Previous post Mini Karnival Usahawan Desa meriahkan Festival D’Bendang
Next post Melaka rangkul Anugerah Best Heritage Tourism Development
Ubah saiz-+=