Bersedia awal sebelum sektor pelancongan dibuka
AYER KEROH 16 Jun – Semua pemain industri pelancongan Melaka perlu proaktif merangka strategi dan mencari alternatif khasnya dalam pemasaran digital sebelum dibenar beroperasi semula dijangka pada Fasa Keempat menerusi Pelan Pemulihan Negara akhir tahun ini.
Pengerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka Goh Hock Gin berkata, pemasaran digital perlu dikuasai pemain sektor itu sebagai persediaan bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini dengan tawaran pakej pelancongan perlu ditambah baik.
Jelasnya, pasca pandemik COVID-19 menjadikan kebanyakan pelancongan berubah kepada norma baharu dan ia perlu menjadi ukuran dalam pemasaran pelancongan di negeri ini dengan menjadikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai garis panduan utama.
“Pada tempoh ini pelancong telah menggayakan norma baharu jadi pemain industri khususnya perhotelan, agensi pelancongan serta pelbagai lagi perlu merangka strategi terbaik dengan menawarkan pakej yang tidak menjurus kepada kawasan utama dan terkenal di Melaka kerana ia akan membawa kepada orang ramai berkumpul dan ini akan membuatkan mereka berwaspada dengan perkara ini.
“Penawaran pelbagai pakej lain terutama sektor eko-pelancongan dapat membantu pelancong agar tidak tertumpu kepada satu kawasan saja.
“Biarpun negeri ini terkenal dengan tempat bersejarah yang menjadi tumpuan, namun kita mempunyai kawasan eko-pelancongan terutama di Alor Gajah, Jasin dan Ayer Keroh,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam tempoh jangka pendek segala latihan atas talian bagi menambah kemahiran pemain industri, pelaksanaan program ‘Hybrid Fair’ yang menggabungkan konsep fizikal dan maya perlu diambil kira.
Sementara itu, Hock Gin berharap pelan terbabit diberikan fokus sepenuhnya agar tidak lari daripada tempoh jangkaan kerajaan yang menjamin sektor pelancongan akan dibuka semula pada fasa itu.
“Bagi mendokong hasrat itu kerajaan perlu mempercepatkan vaksinasi barisan depan pemain industri pelancongan bagi menjamin keselamatan mereka untuk berdepan pelancong dari pelbagai negeri sebaik rentas negeri dibenarkan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sektor pelancongan akan dibenarkan beroperasi secara berperingkat pada Fasa Keempat Pelan Pemulihan Negara dan memberi kebenaran merentas negeri sebaik kes baharu COVID-19 di paras 500 kes sehari selain 60 peratus rakyat selesai diberi dua dos suntikan vaksin.
Pengurus Hotel Seri Malaysia Melaka, Rahman Ross berkata, pelbagai strategi telah dirangka pengurusan hotel itu bagi melonjakkan kembali pasarannya yang kini turun sekitar 70 hingga 80 peratus.
Jelasnya, pelbagai langkah awal diambil sementara menunggu tempoh pemulihan itu seperti menjual setiap masakan hotel menggunakan kaedah penghantaran dan juga membuka gerai tepi jalan demi menjana pendapatan sampingan.
“Hotel Seri Malaysia juga merancang mengadakan kerjasama dengan pengusaha pelancongan terpilih di Melaka misalnya memberi diskaun harga tiket seperti
Taman Mini Malaysia dan Asean, Zoo Melaka dan Menara Taming Sari.
“Malah, kita menyokong pendekatan pemasaran digital seperti ‘virtual fair’ kerana ia adalah pendekatan strategik misalnya mempromosikan baucar serta pelbagai lagi di platform dagang seperti Shoppee,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.