Sorting by

×

BERSATU tumpu tarik pengundi muda

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

LENDU 17 Ogos – Pengundi 18 tahun yang diberikan peluang melaksanakan tanggungjawab itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) harus diberikan fokus oleh jentera pilihan raya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Selain itu, belia berusia 26 tahun yang mengundi kali kedua juga harus diberikan perhatian sewajarnya kerana mereka juga amat penting dalam memilih kerajaan.

Ketua BERSATU Bahagian Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan, hal berkenaan penting diberi perhatian kerana kedua-dua kategori pengundi terbabit bakal menentukan kerajaan pada masa hadapan.

Katanya, pengundi berusia 18 tahun dijangka berpeluang berbuat demikian pada PRU-15 jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mampu menyempurnakan beberapa aspek berkaitan pendaftaran mereka.

“Mereka dijangka mengundi buat kali pertama dan kita jangan lupa belia yang mengundi kali kedua selepas mengundi kali pertama pada PRU-14 dan menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Bagi pengundi kali pertama, kita harus memberi penjelasan kepada mereka mengenai sistem pembentukan kerajaan dan bagi pengundi kali kedua yang berusia 26 tahun pada PRU-15, mereka ini mempunyai pengalaman menggunakan kuasa mengundi untuk memilih kerajaan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Srikandi Bahagian Masjid Tanah di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah di sini pada Sabtu.

Persidangan itu dihadiri kira-kira 1,200 ahli Srikandi dari 10 cawangan. Yang turut hadir, Timbalan Ketua BERSATU bahagian Nazri Ramli dan Ketua Srikandi bahagian Zafaizah Ablah.

Mas Ermieyati juga berkata, ahli BERSATU harus memberikan kepercayaan kepada Presiden parti berkenaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin parti untuk bekerjasama dengan parti lain dalam Muafakat Nasional (MN) kerana pemimpin di peringkat atasan mampu merancang kecemerlangan parti.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, dilaporkan berkata, pendaftaran pengundi berusia 18 tahun masih belum dilaksanakan lagi dan ia akan dilaksanakan serentak dengan pendaftaran pemilih secara automatik selepas segala persiapan SPR diselesaikan.

Ia termasuk penyediaan pindaan kepada Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) serta penyediaan sistem dan infrastruktur. riSemua persiapan itu dijangka selesai selewat-lewatnya pada Julai tahun hadapan, katanya.

Setakat ini hanya Kerajaan Terengganu yang sudah meminda Enakmen Undang-undang Bagi Diri Kerajaan negeri (Bab Yang Pertama), (Pindaan) 2020 bagi membolehkan individu berusia 18 tahun ke atas mengundi dan layak menawarkan diri untuk bertanding di peringkat Dewan Undangan negeri (DUN) pada PRU-15.

Di peringkat Parlimen, Rang Undang-undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 sudah dibentang dan diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat serta Dewan Negara pada 25 pada Julai 2019 yang memberi peluang mereka yang berusia 18 tahun layak mengundi secara automatik.

Views:

515
Kongsi :
Previous post Gigih bantu ibu bakar lemang pada hujung minggu
Next post Sistem amaran banjir bakal diperluaskan di Melaka
Ubah saiz-+=