Sorting by

×

Bersatu Kelantan hantar 700 petugas bantu kempen PRN Melaka

Masa Membaca:57 Saat

PASIR  PUTEH 3 Nov – Bersatu Kelantan akan menghantar 700 petugas bagi membantu kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung pada 20 Nov ini.

Pengerusi Bersatu Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor berkata kumpulan itu melibatkan tenaga penceramah yang berpengalaman dalam pelbagai bidang termasuk politik, agama dan ekonomi.

“Kumpulan ini akan dihantar sebelum hari penamaan calon secara berperingkat dan bergilir-gilir sehingga hari pengundian,” katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Tokoh di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata ahli Bersatu Kelantan yang akan dihantar ke Melaka juga diingatkan  supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi sehingga membangkitkan kemarahan penduduk dan menghormati budaya masyarakat setempat.

“Bersatu Kelantan akan berkampung di dua kawasan iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek dan Bukit Katil sebagaimana ditetapkan oleh Bersatu Melaka,” katanya.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan itu menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1271
Kongsi :
Previous post Melaka lancar Bas Penyayang, percuma buat 33,000 golongan sasar
Next post Agong perkenan Proklamasi Darurat Sarawak ditamatkan
Ubah saiz-+=