Bersama jayakan Kajian Rancangan Tempatan MPHTJ

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BANDARAYA MELAKA 28 Jun – Pemimpin masyarakat diminta untuk bersama-sama dengan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dalam melaksanakan Kajian Rancangan Tempatan dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron berkata, pandangan dan cadangan dari semua pihak khususnya pemimpin masyarakat amat diperlukan bagi mendapatkan input serta cadangan secara bersama.

“Untuk Kajian Rancangan Tempatan kita memang libatkan pemimpin masyarakat setempat yang mana selepas ini kita akan turun kesemua tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN)
yang berada di bawah kawasan pentadbiran MPHTJ.

“Pada sesi itu kita bukan sahaja akan berjumpa wakil rakyat kawasan tetapi juga pihak Japerun dan 45 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang ada kerana kita memerlukan cadangan serta pandangan daripada mereka.

“Perjumpaan ini akan membabitkan beberapa siri dan dilakukan secara berkala kerana bagi melaksanakan Kajian Rancangan Tempatan ini ia perlu dibuat secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Kick-Off Bagi Kajian Rancangan Tempatan MPHTJ 2035 (Penggantian) di sebuah hotel, di Banda Hilir, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) TPr. Md Nazri Abdullah dan Pengarah Pejabat Projek Zon Selatan (PLANMalaysia) TPr. Dr. Dzul Khaimi Khailani.

Tambah Sapiah, pembabitan semua kepimpinan masyarakat juga perlu bagi mengelak sebarang pertikaian atau perkara berbangkit pada masa akan datang.

“Kita membawa pembangunan di kawasan masing-masing saya tidak mahu ada di antara mereka akan mengatakan kenapa tidak tahu atau dimaklumkan tentang pembangunan yang dibuat.

“Jadi dengan pembabitan mereka dalam perkara ini, segala maklumat akan diperoleh dan mereka peka akan setiap pembangunan jadi tiada alasan untuk mengatakan tidak tahu.

“Contohnya, kita melihat DUN Pengkalan Batu ia ada potensi untuk pembangunan ekopelancongan, jadi pandangan pemimpin masyarakat kita perlukan untuk realisasikan hasrat itu bukan tertumpu sepenuhnya kepada pandangan daripada agensi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

64
Kongsi :
Previous post ‘Melaka luar biasa sekali’
Next post Teh tarik gula Melaka ‘signature’ terbaharu pelancongan
Ubah saiz-+=