Berpersatuan elak wanita jadi mangsa ‘love scam’

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER MOLEK 5 November – Pembabitan aktif wanita terutamanya suri rumah dalam aktiviti persatuan dilihat dapat membantu golongan ini daripada menjadi mangsa penipuan ‘Love Scam’.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, kaum wanita adalah golongan yang sangat istimewa kerana bijak mengatur masa untuk melakukan banyak perkara pada satu masa.

“Contoh sesibuk manapun dengan berpersatuan tetapi dalam masa sama dapat menjaga keluarga dengan baik. Kes membabitkan ‘Love Scam’ ini sebenarnya boleh elak sekiranya mereka pandai memainkan peranan atau ada tempat untuk berkongsi cerita.

“Apabila terlibat dengan aktiviti berpersatuan jadi mereka ada ruang untuk berkongsi, sekali gus dapat menghalang daripada menjadi mangsa penipuan.

“Malah paling penting adalah berbalik kepada ajaran agama selain jangan bersikap mudah terpedaya dengan individu yang baru dikenali di laman sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program 3S, Senam, Sihat, Sejahtera Anjuran Persatuan Kebajikan Muslimah Melaka, di Ayer Molek, di sini, hari ini.

Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, wanita juga perlu bergerak aktif dan bersatu padu dalam semua hal bagi memastikan hak kaum hawa dapat disuarakan.

“Bagi saya juga penting dalam kalangan wanita sendiri jangan ada dusta, kalau sifat sebegini kita tidak boleh maju malah mengeruhkan lagi hubungan.

“Justeru itu, usaha dengan menganjurkan program sebegini adalah bagus dengan menghimpunkan wanita-wanita secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi silaturahim. Malah saya menggalakkan lebih banyak persatuan untuk begerak aktif seperti Persatuan Kebajikan Muslimah Melaka ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1123
Kongsi :
Previous post Cubaan 30 PATI menyusup ‘laluan tikus’ gagal
Next post 11 rumah, bengkel motosikal rosak akibat ribut di Batu Berendam
Ubah saiz-+=