Berpegang teguh kepada integriti, simpan kerahsiaan kerajaan – KM
BANDA HILIR 20 Disember – Penjawat awam di negeri ini sama ada berkhidmat dalam Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri diingatkan supaya berpegang teguh kepada integriti dan menyimpan kerahsiaan maklumat kerajaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menegaskan perkara itu perlu diberi perhatian kerana dalam pentadbiran Kerajaan Negeri diterajui oleh beliau tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku mahupun tatakelola yang menyalahi undang-undang.
Katanya, tindakan tegas akan diambil mengikut kedaulatan undang-undang sekiranya mana-mana penjawat awam yang culas dengan tanggungjawab itu.
“Saya juga mengingatkan jangan melayan mana-mana individu yang menggunakan nama saya atau Ab Rauf untuk menagih projek.
“Sila rujuk kepada saya, jangan malu dan saya faham kita mempunyai kuasa boleh melakarkan apa sahaja diminta tetapi perlu ingat ada landasan serta peraturan yang perlu dipatuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan YAM Ketua Menteri Bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Negeri dan Persekutuan di sebuah hotel di sini malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.
Turut hadir barisan Exco dan Timbalan Exco serta Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Terdahulu, Ab Rauf turut menjadi saksi kepada Lafaz Integriti diucapkan semua penjawat awam yang hadir dan acara menandatangani borang Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
Menurutnya, lafaz ikrar itu diharapkan dapat disematkan dalam hati masing-masing dan menjadi amalan dalam urusan seharian.
“Setiap jabatan disaran membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi masing-masing sebagai garis panduan bagi menangani permasalahan dan kelemahan governans, integriti dan antirasuah dalam organisasi.
“Saya juga tegaskan bahawa pegawai kerajaan adalah tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 atau Official Secrets Act (OSA) iaitu undang-undang yang mengklasifikasikan maklumat kerajaan sebagai ‘rahsia rasmi’.
“Mereka yang mendedahkan maklumat kerahsiaan yang dikelaskan sebagai ‘rahsia rasmi’ adalah merupakan satu kesalahan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.