Sorting by

×

Berlatih jinak buaya sejak darjah tiga

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 18 April – Meskipun buaya digeruni kerana sifatnya sebagai pemangsa atau pembunuh, namun bagi Saifullah Muhammad Sarath, 34, melayani gelagat reptilia itu umpama memberikan satu ketenangan buat dirinya.

Apa tidaknya sejak berusia sembilan tahun lagi Saifullah sudah diberikan pendedahan mengenai cara ‘bermain’ dengan buaya oleh bapanya Muhammad Sarath Abdullah, 63.

Saifullah, kini bertugas sebagai penjaga haiwan di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka berkata, atas dasar minat dia mengikuti latihan perhutanan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

“Sebenarnya bapa saya bertugas sebagai pengurus operasi di taman ini, jadi sejak kecil saya sudah mendapat pendedahan mengenai buaya. Atas dasar minat saya menjadi penjaga buaya dan pada 1999 saya pernah diberi gelaran ‘putera buaya’.

“Ayah banyak beri peluang kepada saya untuk belajar mengenai reptilia ini, hinggakan saya penah ada seekor buaya kesayangan diberi nama Mat Ali. Pada usia masih mudah saya sudah melakukan persembahan bersama Mat Ali, tidak ada rasa gerun meskipun saiz reptilia itu lebih besar berbanding badan saya.

“Kerana sudah macam kawan karib kematian Mat Ali memberikan kesan amat mendalam kepada diri saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata, sebagai peminat buaya dia mahu berkongsi dan memberikan pendedahan mengenai sifat buaya kepada masyarakat.

Sesuai dengan peredaran zaman Saifullah menggunakan medium TikTok dengan akaun ‘Bangbuya’ untuk memuatnaik video mengenai aktiviti sehariannya bersama reptilia diminatinya itu.

“Antara video yang saya pernah kongsi adalah teknik mengutip telur buaya, memberi makan dan paling menarik pancaindera buaya yang mungkin kurang diketahui orang awam.

“Buaya amat istimewa kerana ia adalah haiwan purba dari zaman dinosaur masih hidup sampai sekarang. Reptilia ini lebih dikenali sebagai haiwan ganas dan pembunuh, tetapi sebenarnya banyak fakta lain menarik mengenai buaya.

“Meskipun reptilia dalam video kelihatan sudah jinak, namun saya sentiasa berhati-hati pekerjaan ini sentiasa berdepan risiko diserang buaya jika tidak kena teknik pengendaliannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

218
Kongsi :
Previous post Bekas eksekutif pentadbiran didakwa pecah amanah wang syarikat lebih RM100,000
Next post 300 petugas JKM siap sedia digerakkan
Ubah saiz-+=