‘Berkorban’ satu tan beras, telur dan bendera hayati kemerdekaan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDA HILIR 31 Ogos – Peniaga restoran di Banda Hilir di sini mempunyai cara tersendiri meraikan Hari Merdeka apabila memilih untuk ‘berkorban’ mengagihkan lebih satu tan beras, 3,000 biji telur dan bendera Jalur Gemilang.

Pengusaha Nasi Ganja Daun Pisang, Adillah Jamaluddin, berkata program bantuan buat golongan terjejas akibat pandemik COVID-19 itu disalurkan kepada 110 penerima membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM3,000.

Menurutnya, setiap penerima akan mendapat kit makanan berupa sepapan 30 biji telur ayam, sekampit beras 10 kilogram dan satu bendera kecil untuk menyemarakkan Bulan Kemerdekaan.

“Sebenarnya, ini adalah program tahunan restoran yang diadakan secara mingguan sejak lima tahun lalu di hadapan restoran setiap kali tibanya bulan Ogos.

“Selain niat untuk bersedekah, ini juga merupakan salah satu cara menyemai semangat patriotik di Bulan Kemerdekaan untuk penerima,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).

ADILLAH menyampaikan bantuan kepada Siti Aminah.

Menurut Adillah, kebanyakan penerima bantuan mengetahui usaha dilakukannya itu melalui laman Facebook dan kumpulan Whatsapp tanpa mengira bangsa, agama dan warganegara.

Sementara itu, seorang penerima, Siti Aminah Mohd Khalim, 54, berkata, dia menaiki basikal dari Pengkalan Rama ke Banda Hilir untuk mengambil bantuan tersebut kerana tidak mampu membelinya.

“Saya dapat tahu pasal bantuan ini dari rakan di Facebook, jadi saya datanglah ke sini dan alhamdulillah masih ada peniaga yang prihatin dengan nasib saya,” katanya.

Perkara sama disuarakan, pengayuh beca, Mohd Fuad Abd Manaf, 53, yang sangat berterima kasih kepada pengusaha restoran walaupun tahu mereka juga terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Terlalu ramai yang terjejas pendapatan akibat pandemik ini termasuklah peniaga restoran namun syukurlah kerana mereka masih mampu ‘berkorban’ wang ringgit yang mungkin tidak mampu dilakukan peniaga lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

782
Kongsi :
Previous post Penafian gambar Ketua Menteri dalam iklan produk
Next post Gaza ‘hadiahkan’ Malaysia Street sempena Hari Kemerdekaan ke-64
Ubah saiz-+=