Sorting by

×

Berkonvoi sampaikan mesej kemerdekaan

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

SELANDAR 5 Ogos – Seramai 150 penunggang motosikal akan menyertai Program Kembara Merdeka Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, bertujuan untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Fairul Nizam Roslan berkata, konvoi dijadualkan 20 Ogos ini akan berhenti di beberapa lokasi ditetapkan untuk mengagihkan Jalur Gemilang kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan pemimpinan setempat.

Katanya, meskipun harga sehelai Jalur Gemilang tidak seberapa namun nilainya tidak terhitung kerana ia melambangkan sebuah bangsa yang bebas merdeka.

“Berikutan itu saya mengajak orang Melaka bersama-sama untuk mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing.

“Secara tidak langsung kita menghargai pengorbanan pejuang dan pahlawan terdahulu yang banyak berjasa dalam memerdekakan negara,” katanya pada sidang media selepas Program Menyantuni Pengamal Media Melaka di sebuah ladang durian di Selandar, di sini, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Rosemanizam Mohammed Nalif dan Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika), Amir Mamat.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, selain mengedarkan Jalur Gemilang konvoi berkenaan juga akan menziarahi bekas pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekitar DUN Asahan.

“Saya meminta kerjasama JPKK untuk mengenal pasti pesara pasukan keselamatan ini, kita akan meraikan mereka pada hari berkenaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1724
Kongsi :
Previous post Sensasi anggur rasa laici Masjid Tanah
Next post YB Along santuni pengamal media Melaka
Ubah saiz-+=