Sorting by

×

Berkain pelikat, minta tolong rumah terbakar

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

PANTAI KUNDOR 20 September – “Sebaik membuka mata, keadaan sekeliling gelap berikutan bahagian dalam rumah dipenuhi asap tebal. Sebaik emak menghulurkan kunci saya terus membuka pintu rumah.

“Ketika itu saya yang hanya memakai kain pelihat berlari ke rumah saudara sambil menjerit meminta tolong,” kata mangsa kebakaran Muhammad Shahrul Fitri Noordin, 19.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi tadi, kediaman menjadi tempat remaja itu dan ibunya Robiah Saidin, 61, berteduh di Lorong Haji Manaf, Tangga Batu, di sini, musnah terbakar.

WhatsApp Image 2022-09-20 at 8.19.34 AM
ANGGOTA Bomba memadamkan kebakaran rumah di Lorong Haji Manaf. Tangga Batu,

Menceritakan saat cemas itu Muhammad Shahrul Fitri berkata, asap tebal menyebabkan dia mengalami kesukaran untuk bernafas dan berasa perit pada bahagian dada.

“Kerana mengalami cemam campak saya tidur di ruang tamu, meskipun badan ketika itu agak lemah saya kuatkan semangat untuk selamatkan diri sebelum minta bantuan daripada saudara,” katanya.

Sementara itu, Robiah meluahkan rasa syukur kerana dia dan Muhammad Shahrul Fitri sempat menyelamatkan diri selepas nyaris terperangkap di dalam rumah.

Robiah berkata, terdahulu sebelum kejadian dia menunaikan solat Isyak dan tidur pada jam 2 pagi.

“Saya solat Isyak agak lewat kerana terlena ketika menonton televisyen, syukur dalam keadaan cemas itu saya sempat mencari kunci rumah.

“Tidak dapat bayangkan kalau ketika itu kunci rumah tidak ditemui. Sebelum ini kami tidak ada tempat khusus untuk letak kunci, namun kali ini selepas solat hati saya tergerak untuk letak kunci berhampiran pintu,” katanya.

Wanita itu menyedari rumah didiami sejak 30 tahun itu terbakar selepas terhidu bau hangit dan akibat kejadian dia serta anaknya tinggal sehelai sepinggang.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.16 pagi sebelum tiga jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, BBP Melaka Tengah dan BBP Cheng ke lokasi kejadian.

“Kebakaran itu memusnahkan 80 peratus struktur kediaman dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan selain punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2286
Kongsi :
Previous post Ketua geng Alif Buntal lakukan 13 jenayah ketika lolos parol
Next post Atlet 13 tahun dari Nyalas bawa pulang emas untuk Melaka
Ubah saiz-+=