Sorting by

×

Beri peluang pekerjaan kepada OKU-Ras Adiba

Masa Membaca:2 Minit, 16 Saat

KUALA LUMPUR 11 Feb. – Tatkala negara berdepan dengan penularan pandemik COVID-19, sektor kerajaan dan korporat disaran supaya membuka peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) terutama dalam kalangan B40.

Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, sekiranya semua pihak memberi peluang kepada komuniti itu untuk berkhidmat di sektor masing-masing, ia dapat meningkatkan peratusan pengambilan golongan berkenaan untuk bekerja sekali gus membantu mereka keluar daripada kemiskinan.

Senator Datuk Ras Adiba Radzi. Foto kredit- mykmu.net

“Tapi kita tidak melakukan ini sendirian sahaja, kita semua kena bekerjasama. Semua kementerian harus berganding bahu untuk memberi peluang kepada golongan OKU bekerja dan begitu juga sektor korporat.

“Bagaimana hendak memberi peluang ini, kita perlu sentiasa adakan public service announcement, kempen kesedaran mengenai OKU, selalu menguar-uarkan mengenai peluang pekerjaan, seperti dilakukan Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya Jabatan Pembangunan OKU.

“Kami di portal OKU Sentral juga cuba menguar-uarkan kepada sahabat OKU lain semua tentang peluang yang ada. Namun bagaimana peluang itu akan ada kalau kita sendiri tidak mahu memberi OKU itu peluang untuk bekerja?,” kata Ahli Dewan Negara itu dalam Buletin Awani Khas dengan topik ‘Golongan OKU Berisiko Dihimpit Kemiskinan’ semalam.

Ras Adiba yang merupakan presiden OKU Sentral berkata sebagai contoh, adakalanya ketika seseorang OKU mencari pekerjaan, sesetengah syarikat tidak mahu mengambil bekerja apabila melihat individu itu tidak sempurna.

Beliau berkata terdapat juga kes seperti borang permohonan disediakan majikan tidak mesra OKU kepada mereka yang cacat penglihatan atau borang itu terlampau rumit dan banyak informasi sehingga golongan autisme, disleksia ataupun Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) tidak faham.

“Jadi semua ini sebenarnya berbalik kepada kesedaran mengenai keperluan OKU, bagaimana untuk menyokong OKU dan memberi peluang. Sekiranya kita tidak memberi peluang kepada OKU bekerja sampai bila pun masalah ini tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pihak berwajib seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) agar menyediakan jaringan keselamatan sosial khususnya bagi isi rumah yang diketuai oleh OKU.

Selain itu, kerajaan juga disaran untuk memperluaskan skim bantuan kewangan JKM kepada ibu dan bapa tunggal serta golongan OKU terutamanya mereka yang tinggal di flat kos rendah di bandar memandangkan bantuan sedia ada tidak mencukupi bagi menyara keluarga masing-masing

Menurut laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) baru-baru ini berkaitan Keluarga di Pinggiran, tahap pendapatan dalam kalangan isi rumah diketuai OKU kini 36 peratus lebih rendah berbanding akhir tahun 2019, selain kadar kemiskinan di antara sampel kajian juga lebih tinggi iaitu 55 peratus.

Laporan itu juga mendapati 83 peratus ketua isi rumah (KIR) OKU tidak mempunyai simpanan serta satu daripada dua (55 peratus) KIR OKU menjangkakan keadaan kewangan mereka akan bertambah buruk dalam tempoh enam bulan akan datang.

Views:

467
Kongsi :
Previous post ‘Pecutan terakhir’ calon SPM 2020
Next post Elak perjumpaan besar-besaran pada Tahun Baharu Cina
Ubah saiz-+=