Beri peluang anak muda jadi pelapis sebar dakwah

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER LIMAU 1 April – Masjid dan surau di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau perlu memulakan langkah dalam memberi peluang kepada anak muda menjadi pelapis dalam menyebarkan dakwah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, langkah itu selari dengan hasratnya mahu mengukuhkan semangat kecintaan masyarakat kepada institusi agama terus diperkasa.

Beliau berkata, langkah mengaktifkan kembali surau lama yang terbiar akan diteruskan dengan membuka peluang kepada anak muda terutama daripada golongan Hafiz atau lepasan sekolah tahfiz sebagai langkah mengimarahkan masjid dan surau.

“Setidak-tidaknya anak-anak muda ini diberi peluang untuk melaungkan azan dan dari situlah mereka mula akan terdetik untuk mencintai masjid dan surau serta tidak kekok dengan sistem pengurusan masjid.

“Kita berharap semua pentadbir masjid dan surau di DUN ini perlu memainkan peranan dan langkah ini mampu menggalakkan lebih ramai anak muda untuk datang ke rumah Allah ini kerana kita sering melihat kurangnya anak muda yang datang ke masjid dan surau pada hari ini.

“Alhamdulillah, atas kerja keras dilaksanakan semua pihak, beberapa surau lama dan usang yang terbiar berjaya diimarahkan di kawasan ini dan usaha ini akan diteruskan bagi memastikan elemen dakwah terus diperluaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran Perdana Peringkat DUN Ayer Limau di Masjid Ubudiah, Ramuan China Kechil, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Hameed yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri memaklumkan pelbagai program akan dirangka bagi memastikan pelapis pendakwah terus dilahirkan di DUN berkenaan dan diwarisi pada masa akan datang.

“Sekurang-kurangnya, kita perlu ada satu cara untuk menarik pelapis-pelapis muda ini seperti kita cuba menghidupkan asas lima waktu ini dengan berjemaah di masjid dan surau dan selepas itu kita adakan pengisian majlis ilmu.

“Kita juga boleh melakukan pelbagai pendekatan lain seperti kelas-kelas mengaji serta pelbagai lagi supaya usaha tersebut mengimarahkan masjid dan surau,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

195
Kongsi :
Previous post TMM2024: Melaka terima 3 juta pelancong setakat Mac
Next post Rai, kongsi rezeki bersama anak yatim
Ubah saiz-+=