Berhati-hati individu mengaku wartawan MHI
AYER KEROH 23 Julai – Pihak penganjur program dan orang ramai diingatkan supaya berhati-hati serta membuat semakan apabila didatangi individu yang memperkenalkan diri sebagai wartawan atau wakil daripada Melaka Hari Ini (MHI).
Syarikat media rasmi Kerajaan Negeri, Melaka Hari Ini Sdn Bhd, menerusi satu kenyataan memaklumkan, peringatan itu adalah susulan laporan individu tertentu yang mengaku sebagai wartawan MHI dan meminta bayaran bagi tujuan hebahan sebuah program agihan bantuan kepada golongan asnaf baru-baru ini.
Berikutan itu penganjur program atau orang ramai berminat untuk membuat hebahan menggunakan platform MHI diminta berhubung secara terus dengan Jabatan Pengiklanan MHI bagi tujuan tersebut, sekali gus mampu mengelakkan sebarang kekeliruan.
“Pembayaran bagi tujuan hebahan atau pengiklanan sepatutnya dibuat kepada pihak pengurusan Melaka Hari Ini Sdn Bhd menerusi akaun bank berdaftar yang sah, bukan secara terus kepada wartawan atau mereka yang mengaku sebagai wakil daripada MHI.
“Kami juga menafikan melantik mana-mana pihak atau individu tertentu bagi mewakili MHI. Sebagai makluman MHI juga tidak lagi menggunakan khidmat wartawan sambilan seperti sebelum ini,” kata kenyataan itu.
Setakat ini penerbitan MHI membabitkan akhbar bercetak sebulan sekali dan e-paper, diikuti Melaka TV (MTV) menerusi platform digital YouTube, TikTok, Facebook, Instagram serta aplikasi X.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.