Sorting by

×

Berhabis puluhan ribu demi ‘buru’ burung

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BATU BERENDAM 8 Disember – Berhabis puluhan ribu Ringgit namun ia bukan penghalang untuk seorang jurugambar merantau beberapa negeri demi ‘memburu’ detik indah menyelami kehidupan unggas yang diungkapkan dalam karya fotografinya.

Nur Ismail Mohammed, 54, yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur berkata, dia sanggup meluangkan masa yang begitu lama di habitat burung demi mendapatkan mutu gambar yang berkualiti dengan seni yang membawa makna baginya.

Dia yang sebelum ini berkecimpung selama 25 tahun dengan sebuah syarikat pemaju di Putrajaya kini beralih bidang sejak tahun 2012 dengan mengambil pendekatan belajar sendiri dalam ilmu fotografi.

“Sejak 2019 pula saya mula minat mengambil gambar pelbagai spesies burung berbanding sebelum ini foto yang saya hasilkan menjurus kepada landskap dan bangunan.

“Apabila mula menjejaki karya burung ini rasa kepuasan itu lain dari yang lain kerana genre gambar burung ini kepuasan dan ketenangan untuk berkarya itu berbeza,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas disenaraikan antara tiga pemenang utama dalam Majlis Penyampaian Hadiah Fotografi ‘Kehidupan Burung Air di Taman Mutiara Melaka’ diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.

Nur Ismail telah menerima hadiah kemenangan RM1,500 berserta piala dan hamper yang disampaikan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan, Sa’ari Basiron yang mewakili Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Jailani Khamis.

photo1670411999
Tempat persinggahan migrasi yang terdiri dari spesies burung yang dilindungi di Taman Mutiara, Batu Berendam, Melaka. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Nur Ismail menyatakan rasa terharu dan bersyukur di atas kejayaan itu yang disifatkan sesuatu yang tidak disangka-sangka.

“Saya sanggup turun ke Melaka selama dua hari satu malam menghabiskan masa untuk mengambil gambar burung di Taman Mutiara ini menggunakan kamera dengan lensa 200-600 milimeter (mm).

“Tak sangka kerana memang saya tak jangka sampai ke peringkat ini dan sepanjang pertandingan ini saya gunakan segala pengalaman yang saya ada termasuk kemahiran menyunting, menilai komposisi gambar yang sesuai sebelum dihantar kepada juri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2175
Kongsi :
Previous post Taman Mutiara Batu Berendam dicadang jadi pusat konservasi burung air
Next post UTeM hargai sumbangan media
Ubah saiz-+=