Berganding bahu tingkat pembangunan kanak-kanak
JASIN 26 November – Kerjasama komuniti tempatan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) penting dalam usaha meningkatkan pembangunan kanak-kanak.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, perubahan gaya hidup serta perkembangan teknologi yang pantas antara cabaran dihadapi dalam membesarkan anak-anak.
Katanya, justeru sokongan pelbagai pihak bukan sahaja daripada ibu bapa, keluarga malah masyarakat sekeliling juga perlu bersama-sama memainkan peranan.
“Perkembangan teknologi pada masa ini menyebabkan kanak-kanak mudah terdedah kepada akses internet dan laman sosial ia secara tidak langsung menyebabkan wujudnya jurang komunikasi.
“Jadi semua pihak perlu memainkan kerjasama dalam meningkatkan akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penting lain untuk kanak-kanak.
“Ini kerana kanak-kanak mempunyai hak untuk dilayan dengan maruah, hormat dan kasih sayang meskipun perkembangan teknologi berkembang dengan jayanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Negeri Melaka 2023 yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Zulkifli Hanifah, di Jasin Bestari, semalam.
Kalsom yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata, semua kanak-kanak mempunyai hak untuk menjalani kehidupan yang baik, hak untuk dilindungi dan hak membesar serta hak belajar.
“Jangan diganggu hak kanak-kanak ini, kita amat berharap agar kes penderaan terhadap kanak-kanak ini tidak berlaku lagi malah sebagai orang lebih dewasa dengarlah keluhan apa yang ingin disampaikan.
“Malah Kerajaan Negeri juga bersama JKM kita melakukan beberapa inisiatif dalam mendekati kanak-kanak serta menjalankan advokasi berkaitan hak kanak-kanak,” katanya.
Terdahulu bertemakan Hak Kami, Masa Depan Kami, sambutan hari kanak-kanak itu berlangsung meriah apabila disertai kira-kira 400 peserta termasuk 250 kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti dianjurkan antaranya pertandingan bercerita dan deklamasi sajak.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.