Bercuti di Melaka, dapat ilmu berharga

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 5 Ogos – Bukan sekadar dapat menikmati keindahan Bandaraya Warisan Dunia, pengunjung dan pelancong di Zon Bebas Kenderaan, di sini, turut menerima ilmu berguna berkaitan kesihatan awam.

Ia menerusi Program CPR Awareness yang diselaraskan St. John Ambulan Malaysia dan Paramedik Komuniti bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bersempena Melaka Bila Larut Malam, 3 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Perubatan St. John Ambulance Malaysia Kawasan Melaka Tengah Saiful Nizam Sairi berkata, beberapa aktiviti telah diadakan sepanjang program berkenaan yang berlangsung dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

Menurutnya, antara aktiviti yang diadakan adalah demonstrasi CPR, latihan praktikal CPR serta penerangan dan teori mengenai pentingnya CPR dalam kehidupan seharian.

Selain itu, turut diadakan permainan berbentuk edukatif seperti ‘Ambulance and Stretcher’ dan Dam Ular Kesihatan.

“Menerusi program ini, pengunjung dapat mempelajari asas CPR, selain mempraktikkan teknik itu yang amat bermanfaat untuk diaplikasikan apabila berlaku kes-kes kecemasan.

“Tidak hanya itu, pengunjung terutamanya kanak-kanak dapat menyertai aktiviti menarik menerusi permainan yang bukan sahaja menyeronokkan, bahkan dapat mendidik mereka mengenai pentingnya amalan gaya hidup sihat.

“Malah, mereka juga turut diberikan hadiah dan ganjaran sebagai galakan kerana mengambil bahagian dan mempelajari tentang kesihatan,” katanya.

Whatsapp Image 2024 08 05 At 11.40.03
PENGUNJUNG mendapat ilmu berharga mengenai rawatan kecemasan di Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir.

Sementara itu, Penolong Pegawai Perubatan U36 MBMB Zainal Haris berkata, menerusi program itu, pengunjung bukan sahaja mendapat ilmu, bahkan berupaya meningkatkan lagi kesedaran tentang pentingnya pertolongan cemas dalam situasi kecemasan.

Jelasnya, sepanjang program tersebut, dianggarkan lebih 150 pengunjung mendapat manfaat daripada program tersebut.

“Kita percaya program ini dapat mempromosikan kesejahteraan fizikal dan mental melalui pengetahuan dan aktiviti yang menyokong gaya hidup sihat.

“Kita juga berharap ia menjadi langkah positif untuk mengukuhkan komuniti dan memastikan lebih ramai orang mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menyelamatkan nyawa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

402
Kongsi :
Previous post Kibar Jalur Gemilang, nanas percuma di Menara Taming Sari
Next post 1,000 meriahkan Car Free Zone @Alor Gajah
Ubah saiz-+=