Sorting by

×

‘Berbuka puasa bersama dinosaur’

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 10 APRIL. – Sempena Ramadan tidak lama lagi, Zoo Melaka dengan kerjasama Dinosaur Encounter menawarkan pakej berbuka puasa Iftar Bersama Dinosaur pada harga RM89 dewasa manakala kanak-kanak RM52.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pakej istimewa itu membolehkan pengunjung menggunakan prasarana Zoo Melaka iaitu ruang solat yang selesa, menikmati hidangan ala hotel dan mengunjungi haiwan yang terdapat di zoo pada waktu malam.

Menurutnya, bagi memudahkan pengunjung, pihak Zoo Melaka menyediakan kenderaan untuk mereka bersiar-siar melawat taman dinosaur pada waktu malam yang kelihatan lebih menarik dengan cahaya lampu pelbagai warna.

“Pada pakej iftar ini, lebih 20 menu masakan disediakan yang lebih berkonsepkan makanan kampung dengan kerjasama Hotel Seri Malaysia termasuk penyediaan sate Kajang Haji Samuri,” katanya selepas melancarkan pra Iftar Zoo Melaka Dinosaur Encounter yang turut disertai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman.

Menurut Muhammad Jailani, pengunjung awal berpeluang bersiar-siar terlebih dahulu dan kemudiannya berbuka puasa, bersolat dan menyambung semula lawatan persekitaran ke Zoo Melaka.

“Pihak Zoo Melaka sedang menyediakan beberapa pelan tindakan bagi mengatasi beberapa masalah sekiranya berlaku hujan lebat atau sebagainya nanti,” katanya.

Ujar beliau, setakat ini, Zoo Melaka menerima 300 tempahan daripada orang ramai yang berminat mendapatkan pakej Iftar Bersama Zoo Melaka.

Pada masa sama, menurut beliau, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan negeri bagi membolehkan lebih banyak sekolah mengadakan lawatan ke Zoo Melaka memandangkan banyak pakej pendidikan disediakan terutama untuk menyalurkan ilmu pengetahuan kepada murid mengenai haiwan di zoo.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

779
Kongsi :
Previous post Barangan keperluan asas mencukupi menjelang Ramadan di Melaka
Next post ‘Kenali raptor, T-Rex Zoo Melaka’
Ubah saiz-+=