Sorting by

×

Beras putih tempatan hanya dijual di tujuh pasar tani FAMA di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

MERLIMAU 18 Februari – Beras putih tempatan yang dibekalkan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tidak lagi dijual di pasar raya mahupun kedai runcit sebaliknya ditawarkan secara terus di tujuh pasar tani seluruh Melaka.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata sebelum ini bekalan makanan asas itu turut diedarkan di pasar raya dan kedai runcit, namun hasil perbincangan bersama FAMA memutuskan untuk menghentikan jualan di premis terbabit.

Katanya, ia susulan aduan kesukaran mendapatkan bekalan beras di pasar raya atau kedai terpilih kerana kehabisan stok yang diterima pihaknya.

“Susulan itu, saya berbincang dengan FAMA negeri dan telah memutuskan kuota beras tempatan yang dibekalkan kepada FAMA, lebih kurang 6,000 kampit sebulan tidak lagi diletakkan di kedai bermula hari ini.

“Sebaliknya kita akan buat jualan secara langsung kepada pengguna di tujuh pasar tani di Melaka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jualan Agri Madani @ Pasar Tani Merlimau di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata jualan beras putih itu diadakan dua minggu sekali di lokasi pasar tani yang sama.

“Aduan yang kita dapat apabila mereka pergi ke kedai (runcit) atau Jualan Agro Bazar, beras habis jadi mereka boleh datang untuk lihat sendiri daripada 300 kampit dijual sehari sehingga beras itu habis (dijual).

“Jadi, dua minggu sekali rakyat Melaka boleh pergi ke tujuh pasar tani FAMA, kalau hari ini di Merlimau, minggu hadapan di pasar tani lain,” katanya.

Dr. Muhamad Akmal berkata kaedah yang diputuskan itu sekali gus memberi kelegaan kepada pengguna untuk mendapatkan bekalan serta memberi jawapan jelas kepada penjualan makanan asas itu.

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat menerusi laman media sosial rasmi Facebook FAMA Negeri Melaka untuk mengetahui jadual lokasi pasar tani yang menjual beras putih tempatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

663
Kongsi :
Previous post RM5 juta naik taraf Stadium Hoki MBMB
Next post Pulau Melaka pusat perkembangan ekonomi belia
Ubah saiz-+=