Sorting by

×

BERAS MELAKA MULA DIPASARKAN APRIL

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

MERLIMAU 29 Mac – Beras putih tempatan yang dikeluarkan Kerajaan Negeri dan dikenali sebagai Beras Melaka akan mula berada di pasaran pada April.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pengeluaran beras putih tempatan itu adalah hasil daripada tuaian padi MR 297 dengan dan dijual dengan harga RM26 bagi setiap 10 kilogram.

“Beras Melaka kita jangka akan dikeluarkan dalam tempoh dua minggu lagi, jadi selepas ini orang Melaka dapat merasai beras hasil daripada sawah di negeri ini.

“Untuk pengeluaran pertama kuantitinya tidak banyak, kira-kira 30 tan atau 3,000 pek sahaja hasil tuaian daripada 42 hektar.

“Namun untuk tuaian kedua pada Julai depan, kuantiti keluaran Beras Melaka dijangka lebih banyak kerana ia adalah hasil tuaian daripada seluruh sawah di Melaka berbanding keluaran pertama hanya dari beberapa sawah sahaja,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sambutan Semarak Syawal 1446H Pasar Tani Merlimau, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Muhamad Akmal berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka dipertanggungjawabkan untuk memasarkan Beras Melaka dan ia akan dijual menerusi penganjuran program FAMA serta Jualan Rahmah.

“Beras Melaka ini akan dipasarkan oleh FAMA dan dijual di outletnya selain di jualan-jualan Rahmah dan pasar tani yang dianjurkan di bawah FAMA.

“Kalau ikutkan jumlah pengeluaran Beras Melaka tidak banyak untuk negeri Melaka tetapi sekurang-kurangnya kita dapat buktikan kepada rakyat bahawa ia memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga petani,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

789
Kongsi :
Previous post RAKAM VIDEO KEMALANGAN SAMBIL MEMANDU, SAMAN MENANTI
Next post ALOR GAJAH BERSERI, LAMPU RAYA SAMBUT KEPULANGAN PERANTAU