Sorting by

×

BERAS MELAKA HANYA UNTUK WARGANEGARA MALAYSIA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 28 April – Beras Melaka yang kini mula dijual pada harga serendah RM26 sekampit 10 kilogram (kg) hanya dijual kepada warganegara Malaysia sahaja.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ketetapan itu bagi memastikan hanya rakyat Malaysia khususnya di Negeri Melaka sahaja mendapat manfaat beras istimewa yang dihasilkan daripada varieti benih padi MR 297.

Beliau memaklumkan, bagi tuaian musim pertama beras berkenaan, sebanyak 50 tan beras telah dihasilkan dan daripada jumlah itu sebanyak 5,000 kampit telah mula dijual.

Jelas beliau, bagi memastikan tiada ketirisan, untuk permulaan, Beras Melaka hanya dijual melalui agensi iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka.

“Beras ini dijual di pasar tani dan Agro Bazar di bawah FAMA dan ia tidak dijual di pasar raya untuk musim pertama.

“Insya-Allah untuk musim kedua nanti, lebih banyak Beras Melaka akan dijual dan orang ramai boleh mendapatkannya di premis-premis jualan FAMA bukan pada harga RM32, bukan RM36, tetapi hanya RM26 sekampit 10kg,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Leng Chau Yen (PH-Bandar Hilir) pada Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Dewan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Tambah Dr. Muhamad Akmal, walaupun harganya murah, namun Beras Melaka mempunyai ciri-ciri istimewa iaitu berasnya lebih wangi dan tidak berkanji.

Beliau turut mengumumkan akan mengagihkan sekilogram Beras Melaka kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri untuk merasai perbezaan kualiti beras yang dihasilkan menerusi Beras Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

824
Kongsi :
Previous post EKONOMI MELAKA KEKAL KOMPETITIF, INKLUSIF DAN BERDAYA SAING
Next post MELAKA SASAR JUMLAH PELABURAN CECAH RM10 BILION MENJELANG 2030