BERAS MELAKA BAKAL DIPASARKAN, HANYA RM26 SEKAMPIT
MERLIMAU 22 Januari – Kerajaan Negeri bakal mengeluarkan beras putih tempatan dikenali sebagai Beras Melaka dalam usaha membantu menambah stok bekalan beras tempatan di pasaran.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pengeluaran beras putih tempatan itu adalah hasil daripada tuaian padi MR 297 yang tidak boleh dijadikan benih dan kemudiannya diproses menjadi Beras Melaka.
“Kita dalam proses untuk menghasilkan Beras Melaka daripada benih padi MR 297 dan harga pasaran yang ditawarkan adalah RM26 bagi setiap 10 kilogram.
“Usaha ini adalah bagi membantu bekalan beras putih tempatan khususnya di pasaran Melaka yang dikatakan payah diperolehi oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengadakan Walkabout Ke Projek Benih Padi Negeri Melaka di Sawah Tengah Padang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Melaka, Rozli Azizi Talib.
Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memasarkan Beras Melaka itu di pasaran.
“Beras Melaka ini dijangka akan berada di pasaran negeri ini pada Februari yang mana FAMA akan membantu memasarkannya.
“Perancangan kita, setiap daerah akan ada sekurang-kurangnya satu tempat yang menjual Beras Melaka, di mana penjualannya akan dibuat secara terbuka.
“Contohnya setiap tempat akan dibawa 1,000 kampit dan orang ramai boleh membelinya dengan syarat satu sekeluarga satu kampit sahaja,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.