Berani sungguh judi di tempat awam!

Masa Membaca:2 Minit, 33 Saat

MASJID TANAH 18 Mac – Agen sindiket judi atas talian tanpa segan silu mempromosi kupon tambah nilai di lokasi tumpuan orang ramai, manakala kaki judi pula terlalu ghairah bermain di tempat awam.

Itu senario ‘keasyikan’ aktiviti perjudian di sebuah kedai makan di Jalan Bandar Baru 1, berhampiran pasar Masjid Tanah, yang terbantut apabila lima ‘tahi judi’ berusia 48 hingga 58 tahun dicekup dalam serbuan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, menerusi operasi tiga jam bermula jam 8 malam tadi itu pihak turut menahan empat lelaki berusia 19 hingga 58 tahun dipercayai agen judi atau penjual kupon tambah nilai aplikasi judi.

Katanya, hasil maklumat dan risikan orang ramai, pihaknya menyerbu tiga lokasi iaitu di sebuah kedai makan berhadapan sebuah kedai pakaian di Jalan Bandar Baru 1, di sini, dan dua lagi premis kedai di Jalan Sri Aman 5, Taman Sri Aman.

WANG tunai dipercayai digunakan dalam aktiviti judi dalam talian dirampas dalam serbuan di sebuah kedai makan di Jalan Bandar Baru 1, berhampiran pasar raya pakaian di Masjid Tanah.

“Ketika serbuan pertama, lima lelaki kaki judi sedang leka bermain tanpa menyedari kehadiran pihak berkuasa manakala empat penjual kupon terbabit sedang makan malam sambil menunggu kehadiran pelanggan tetap kaki judi.

“Polis turut merampas sembilan telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM7,325, manakala dalam serbuan kedua dan ketiga, kita menahan dua lelaki lagi dipercayai agen penjual kupon tambah nilai di dua premis berasingan di Taman Sri Aman,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Mohd Sukri berkata, semua lelaki yang ditahan dibawa ke Balai Polis Masjid Tanah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Beliau berkata, sindiket perjudian di negeri ini sentiasa mengubah taktik modus operandi aktiviti perjudian bagi menarik pelanggan untuk terjebak ke dalam kegiatan tidak bermoral itu selain mengelak aktiviti mereka dihidu pihak berkuasa.

DUA lelaki dipercayai ‘kaki judi’ ditahan dalam serbuan di sebuah kedai makan di Jalan Bandar Baru 1, Masjid Tanah malam tadi.

Katanya, polis berdepan cabaran apabila peranti elektronik yang dirampas daripada penjual kupon nilai tambah berkenaan tidak ada laman web perjudian yang tertera boleh dikaitkan dengan sindiket terbabit sebaliknya hanya menyimpan data dan angka angka kupon tambah nilai sahaja.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, menerusi operasi terancang Op Dadu dalam tempoh tiga tahun sejak 2019 hingga 14 Mac lalu, sebanyak 690 serbuan dilakukan dengan penahanan 790 individu.

“Dalam semua serbuan itu, polis merampas 912 komputer dan telefon bimbit selain wang tunai berjumlah RM140,777.

“Sepanjang tempoh sama, JSJ Melaka telah mengambil tindakan memotong bekalan elektrik terhadap 148 premis perjudian mengikut Seksyen 21A, Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Menerusi kerjasama bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), sebanyak 23 laman perjudian serta membatalkan enam lesen perniagaan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1101
Kongsi :
Previous post Kecut perut 15 kilometer dihambat polis
Next post Kedai makan ‘port’ judi dari petang sampai malam
Ubah saiz-+=