‘BERANI BERKHATAN SEBAB NAK JADI BOMBA’
ASAHAN 20 Januari – Bercita-cita menjadi anggota bomba membuatkan seorang kanak-kanak Muhammad Syahmi Ikmal Mohd Nazri,8, berani untuk berkhatan pada Program Khatan Perdana DUN Asahan 2025, semalam.
Muhammad Syahmi antara 108 peserta yang menyertai program berkhatan berkenaan yang diadakan di Kolej Komuniti Selandar.
Menurut bapanya Mohd Nazri Mustaffa Kamal, 40, selain mempunyai cita-cita tersebut anaknya juga sentiasa mengamalkan selawat Nabi Muhammad SAW bagi menghilangkan rasa takut.
“Saya sentiasa berpesan kepada anak supaya mengamalkan selawat Nabi Muhammad SAW untuk menghilangkan rasa takut ketika berkhatan.
“Pada mulanya saya lihat wajah anak seperti ketakutan dan dia diam sahaja, tetapi saya pesan kepada dia untuk menjadi anggota bomba perlu berani.
“Alhamdulillah semasa proses berkhatan dia tidak menangis langsung dan ini membuktikan dia sudah bersedia memasuki alam dewasa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Manakala Mohd Helmi A.Samad,45, turut mengambil peluang menyertai program berkenaan dengan membawa dua anaknya untuk berkhatan.
“Alhamdulillah bagus ada program begini khususnya untuk golongan B40, saya dapat membawa dua orang anak iaitu Muhammad Fayad Rizqi,6, dan Muhammad Thaqif Wafiuddin,11, untuk berkhatan.
“Anak-anak pun teruja untuk dikhatankan kerana mereka seawal jam 6 pagi sudah bersiap untuk datang ke program ini.
“Saya juga sudah berpesan kepada anak supaya jangan takut dan jika mahu berkhatan saya akan hadiahkan sesuatu untuk mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.