Benarkan perjalanan rentas negeri pelancongan individu lengkap vaksin – MATTA

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) meminta kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri sektor pelancongan bagi individu yang mempunyai vaksinasi lengkap.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata pihaknya bersama 13 persatuan pelancongan yang terlibat telah pun menghantar surat rayuan kepada perdana menteri, menteri pelancongan, seni dan budaya serta ketua pengarah Majlis Keselamatan Negara agar dibenarkan aktiviti pelancongan rentas negeri termasuk individu berumur 17 tahun dan ke bawah.

“Dalam surat itu kita telah nyatakan bahawa sehingga (kelmarin) 28 Ogos sebanyak 61.9 peratus populasi dewasa Malaysia telah divaksinasi sepenuhnya yang mana 82.2 peratus individu telah menerima dos pertama vaksinasi.

“Dengan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kita meminta kerajaan untuk benarkan perjalanan rentas negeri dengan segera untuk semua individu yang lengkap vaksin.

“Ini untuk membantu perniagaan dan seterusnya mendorong pertumbuhan ekonomi domestik,” katanya ketika dihubungi MHI.

Jelasnya, sudah pasti banyak pemain industri pelancongan dan sektor lain memperoleh keuntungan sekiranya kerajaan memberi kelonggaran sekatan rentas negeri.

“Dan ini memberi mereka peluang untuk menghidupkan kembali hotel, inap desa, pengangkutan, makanan dan minuman tempatan, pusat beli-belah, tarikan tempatan dan hiburan.

“Perjalanan rentas negeri akan menghidupkan kembali ekonomi domestik, prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan akan terus dipatuhi bagi memastikan pematuhan terhadap protokol kesihatan diterima,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

394
Kongsi :
Previous post Khairy Jamaluddin mula tugas rasmi sebagai Menteri Kesihatan
Next post PPM edar Bunga Raya, semarakkan Hari Kemerdekaan
Ubah saiz-+=