Belut hidangan eksotik

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER LIMAU 5 Ogos – Bagi kebanyakan orang, sebut sahaja belut pasti mereka berasa geli-geleman apabila terbayang haiwan berkulit licin dan wajah yang agak menakutkan.

Belut bagi kebanyakan orang adalah makanan yang bukan menjadi pilihan utama, apatah lagi untuk dijadikan hidangan istimewa pada waktu tertentu tetapi ia menjadi pilihan eksotik pekerja sawah di Kampung Sungai Siput, Lubok Cina di sini.

Bagi kebanyakan orang, sebut sahaja belut pasti mereka berasa geli-geleman apabila terbayang haiwan berkulit licin dan wajah yang agak menakutkan.

Bagaimanapun, bagi pekerja dari Sumatera, Indonesia Sadri Sukarti, 32, dan beberapa rakannya, belut adalah hidangan eksotik yang membuatkan mereka menambah nasi dalam pinggan sama ada ketika makan tengah hari atau malam.

Sadri mempamerkan belut ditangkapnya di batas sawah.

Bagi mereka, paling enak jika belut dimasak lemak cili padi atau dipanggang untuk dicecah dengan air asam.

Hampir setiap petang selepas selesai bekerja di sawah seluas 50 hektar milik majikan mereka, Sadri dan rakannya mencari lubang di batas sawah sebelum menghulurkan mata kail berumpankan cacing ke dalamnya.

Untuk memastikan mulut belut tersangkut pada joran yang diperbuat daripada kayu kecil, Sadri menggunakan jarum bermata dua yang dicucuk dengan cacing.

“Belut sukar dipancing jika menggunakan mata kail kerana bentuk mata kail yang bengkok agak sukar untuk melekat pada mulutnya.

“Haiwan itu amat gemar makan cacing dan kalau dalam lubang itu memang ada belut, saya tidak perlu tunggu lama untuk menyentapnya naik,” katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.

Dia berkata, kadang kala dia boleh mendapat tiga ekor belut dalam satu lubang dan kadang kala juga hampa apabila tali kail yang dihulur tidak disentap.

Hassan Syafudin, 45, berkata belut gemar menyambar umpan pada sebelah pagi kerana pada sebelah malam haiwan itu tidak keluar mancari makan.

“Kalau rezeki murah, dalam tempoh beberapa jam sahaja saya sudah boleh dapat satu kilogram belut tetapi kalau waktu susah untuk mendapatkannya, kadang kala tiga atau empat jam cuma boleh dapat dua atau tiga ekor,” katanya.

Views:

1024
Kongsi :
Previous post MU dijenamakan sebagai MUFC
Next post Ammonium nitrat punca letupan, kata Presiden Lubnan
Ubah saiz-+=